Dakwa telur yg dijual telah tamat tempoh, polis digesa segera bertindak terhadap pencetus kebencian
Warganet mendakwa lambakan telur ayam yang berlaku baru-baru ini kebanyakannya telur lama seperti disimpan dalam jangka masa yang lama.
Menerusi hantaran di Facebook, netizen yang menggunakan nama Zikrullah Ismail mendakwa, ia berikutan isterinya mengadu hanya beberapa biji telur yang kelihatan baharu dalam satu papan telur dibeli.
Sehubungan itu, dia menyarankan orang ramai tidak membeli telur tersebut dalam kuantiti yang banyak sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang menyorok bahan tersebut.
“Isteri saya mengadu dalam sepapan telur yang dibeli hanya beberapa biji sahaja nampak telur yang baharu. Selebihnya telur lama. Begitulah rosaknya apabila kuasa pasaran dikuasai oleh kelompok manusia yang tak bertanggungjawab begini.
“Saya rasa agak kembang tekak sebenarnya, apabila terpaksa telan telur lama ini. Tetapi, apakan daya permainan politik kartel telur begitu sahaja mudah mempermainkan pengguna seperti kita semua . Semua terkena tak kira bangsa.
“Boleh nampak tak permainan kartel itu benar tuan-tuan. Saya tak pasti kalau ada pakatan politik. Tuhan dan perancang kejahatan sahaja yang tahu benda ini,” kongsinya, memetik laporan Utusan Online.
Pada masa sama, Zikrullah juga meminta, pengguna juga mengambil tindakan untuk membuat laporan kepada tribunal pengguna.
“Pengguna perlu bijak. Mohon simpan resit dan kembalikan telur yang nampak majoriti buruk tu. Buat laporan pada tribunal pengguna. Kita perlu bertindak. Ini benda benar, bukan rekaan,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju lambakan bahan itu kebanyakannya terdiri daripada telur yang sudah busuk.
Maya Iris berpandangan, mereka yang menyimpan stok itu mahu rakyat menyalahkan kerajaan yang hendak dijatuhkan, kemudian kerajaan baharu pula mendapat pujian apabila berlaku lambakan.
“Apa mereka ingat rakyat bodoh tak nampak itu bukan satu kebetulan?,” soalnya.
Latif Ali pula meminta, orang ramai tidak membeli telur itu dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini supaya ia rosak dalam simpanan kartel.
Terdahulu, kesukaran mendapatkan bekalan telur berlaku sejak Oktober lalu di beberapa kawasan di seluruh negara.
Isu itu menjadi tumpuan orang ramai berikutan ia dikaitkan dengan kartel yang memonopoli bahan bekalan berkenaan.