Dakwaan ‘Mat Kilau’ kaut untung lumayan tidak benar, penerbit ini dedah cara kiraan yang perlu dihadap pihak produksi filem
Penyanyi, pengarah dan juga penerbit, Mawi mahu penonton terus memberi sokongan kepada filem arahan Syamsul Yusof iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu.
Ini kerana, Mawi, 41, menjelaskan kutipan filem Mat Kilau yang sudah melebihi RM12 juta ketika ini masih belum balik modal kos RM8 juta yang dikeluarkan pihak produksi.
“Perkara ini ramai tak tahu dan ini berdasarkan pengalaman saya sebagai penerbit filem. Saya nak beritahu kalau berjaya dapat RM12 juta dengan modal RM8 juta, bermaksud untuk penerbit masih belum balik modal.
“Saya jelaskan, yang pertama sekali apabila filem itu ditayangkan di pawagam maka perlu bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus.
“Untuk minggu pertama tayangan, perjanjian antara pihak penerbit dan panggung wayang pembahagian adalah 50/50 bermaksud separuh perlu bayar.
“Jadi, selepas bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus, jumlah yang tinggal itu perlu dibayar sebanyak 50 peratus pula kepada pihak panggung wayang,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, seperti dilapor Harian Metro.
Dalam hantaran sama, Mawi juga menjelaskan pengiraan dan jumlah keuntungan bersih yang berjaya diperoleh pihak penerbitan filem Mat Kilau setakat ini.
“Sekarang kita cerita mengenai Mat Kilau pula, RM12 juta itu perlu tolak sebanyak 25 peratus untuk bayar cukai hiburan dan jumlah bayarannya adalah RM3 juta. Jadi, baki mereka adalah RM9 juta.
“RM9 juta itu pula perlu bahagi dua antara pihak penerbit dan juga pihak panggung wayang. Selepas bahagi maka tinggallah RM4.5 juta. Jadi, masih belum balik modal sebab modal nak buat RM8 juta.
“Itu baru saya cerita tentang minggu pertama. Untuk minggu seterusnya dah lain kira pula. Minggu-minggu seterusnya pihak panggung wayang akan ambil lebih lagi dari 50 peratus.
“Minggu kedua pihak panggung wayang akan ambil 55 peratus, minggu ketiga mereka akan ambil 60 peratus. Manakala minggu keempat pula mereka akan ambil 65 peratus dan pembahagian itu akan tetap sampai habis tayangan,” katanya.