Dakwaan nikahi Rina Harun, Takiyuddin terus berteka-teki
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan masih berteka-teki dengan dakwaan yang mengatakan dirinya menikahi ahli politik wanita berstatus menteri kabinet.
Menjawab secara ringkas pertanyaan yang diajukan mengenai perkara itu, Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu berkata, isterinya merupakan pengundi di Malaysia.
“Isteri saya adalah pengundi di Malaysia, jadi dia boleh dianggap sebagai orang politik (kerana) pengundi adalah ahli politik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Pendakian 121 Puncak sempena ulang tahun ke-121 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Dataran Batai, Taman Eko Rimba, di sini pada Ahad.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan beliau mengahwini seorang ahli politik popular.
Khabar angin Menteri Tenaga dan dan Sumber Asli itu mengahwini seorang ahli politik wanita yang juga rakan kabinetnya bertiup kencang sejak April lalu.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Takiyuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sepanjang setahun dua bulan menerajui Kementerian Tenaga dan dan Sumber Asli.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu pelbagai usaha telah dilakukan untuk menambahbaik kementerian tersebut.