Dakwaan pindah duit RM13j ke Kanada, Mukhriz anggap Sanusi kaki propa

Dakwaan pindah duit RM13j ke Kanada, Mukhriz anggap Sanusi kaki propa

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menganggap dakwaan kononnya berlaku pemindahan wang sebanyak RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke Kanada seperti yang ditimbulkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan satu tuduhan serius.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, beliau berharap satu kenyataan rasmi dapat dikeluarkan berhubung perkara itu yang didakwa berlaku ketika dirinya menjadi Menteri Besar sebelum ini.

“Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘langgar dan lari’.

“Dakwaan itu perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menerusi sidang akhbar selepas selesai persidangan DUN hari ini mendakwa masih menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut.

Mukhriz menambah, jika Muhammad Sanusi percaya perkara itu benar-benar berlaku, beliau sepatutnya membuat laporan polis.

“Ini kali pertama saya dengar tentang kejadian itu. Jadi saya ingin sarankan Muhammad Sanusi untuk buat laporan polis kalau beliau benar-benar percaya benda itu berlaku.

“Dalam Sidang DUN hari ini, baru beliau (Muhammad Sanusi) ditegur agar berhati-hati beri kenyataan. Jadi apabila beliau buat kenyataan begitu dalam sidang akhbar, itu satu dakwaan serius,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE