Dakwaan Sanusi perancangan singkirkannya dari Majlis Kewangan Negara, ini penjelasan Ahmad Maslan

Dakwaan Sanusi perancangan singkirkannya dari Majlis Kewangan Negara, ini penjelasan Ahmad Maslan

 

“Kita tunggu mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Selasa depan, ada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) atau tidak,” kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Muhammad Sanusi berhubung surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah, kononnya merancang menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara.

Tanpa memberi jawapan mengenai kewujudan surat itu, Ahmad hanya memaklumkan semua menteri dan ketua menteri dijemput menghadiri mesyuarat terbabit.

“Kita tunggu mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Selasa (18 April) yang akan datang, jam 9 pagi di Kementerian Kewangan di mana semua menteri besar dan ketua menteri akan dijemput.

“Mesyuarat akan dipengerusikan Menteri Kewangan, jadi kita tunggulah ada Menteri Besar Kedah atau tidak,” katanya pada Harian Metro selepas lawatan ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilapor berkata, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan surat daripada Kementerian Kewangan yang dimaksudkannya itu.

Ahad lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai Menteri Besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah (SUK) Datuk Norizan Khazali sebagai pengganti.

Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata perkara itu didedahkan supaya apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan.