DAP gesa usul undi percaya terhadap Ismail Sabri diteruskan seperti dirancang

DAP gesa usul undi percaya terhadap Ismail Sabri diteruskan seperti dirancang

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa agar usul undi percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tetap diadakan pada sidang Parlimen akan datang.

Setiausaha agung DAP itu berkata, pelantikan perdana menteri baru ketika pertengahan penggal bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan perdana menteri sebelum ini, memerlukan undi percaya bagi menunjukkan dia mendapat sokongan majoriti ahli parlimen seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi Ismail Sabri untuk tidak memasukkan usul undi percaya dalam agenda parlimen adalah tidak berperlembagaan.

“Tidak ada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di parlimen, ia perlu dilaksanakan,” katanya kenyataan hari ini.

Sidang Dewan Rakyat – yang pada mulanya dijadual bermula 6 September hingga 30 September – ditangguh seminggu ke tarikh antara 13 September sehingga 12 Oktober selama 17 hari, tambahan dua hari daripada jadual sebelum ini.

Persidangan itu menjadi perhatian apabila dijangka usul undi percaya terhadap Ismail Sabri akan diadakan.

Ini kerana Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu bertitah bahawa perdana menteri baru harus melakukan undi percaya di parlimen untuk mengabsahkan kepercayaan majoritinya diperolehinya Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, terdapat pakar perlembagaan berpandangan usul undi percaya tidak perlu diadakan kerana kuasa perkenan Agong adalah amat berwibawa dan tidak perlu disahkan atau boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen.

Titah Agong untuk diadakan undi percaya harus dilihat sebagai bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan perdana menteri sahaja, bukan untuk memberikan pengesahan pelantikannya, katanya.

Dalam kenyataan hari ini, veteran DAP Lim Kit Siang Lim Kit Siang pula mendakwa, dalam emel memaklumkan penangguhan berkenaan, usul undi percaya terhadap perdana menteri tiada dalam aturan mesyuarat.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata kegagalan melakukan undi percaya di Dewan Rakyat bertentangan dengan titah Agong sebelum ini.

Dia juga berkata, ia juga berisiko menimbulkan ketidakstabilan politik sekali lagi serta menjejaskan kredibiliti Ismail sebagai perdana menteri.

“Ini akan memberi kesan yang serius terhadap kemampuan Ismail sebagai perdana menteri untuk memimpin negara memerangi pandemik Covid-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan,” katanya lagi.

Sumber – Malaysiakini