Dap sifatkan pandangan MP Umno adalah politik sempit

Dap sifatkan pandangan MP Umno adalah politik sempit

Anggota Parlimen Seremban, Anthony Loke menyifatkan Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mempunyai pandangan politik sempit apabila mengatakan peruntukan yang sama rata untuk ahli parlimen pembangkang seumpama “membunuh” BN.

“Kerajaan hari ni rapuh, jadi kalau kita nak kerjasama dengan pembangkang, kita kena ada sefahaman. Kita kena jadikan ia sebagai satu dasar.

“Kalau esok kita (Pakatan Harapan) menang balik, kita perlu commit bahawa pembangkang perlu dapat peruntukan yang sama.

“Bagi saya ia membunuh atau tak, ini pandangan politik yang sempit,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di laman Facebook DAP malam tadi.

Semalam, Tajuddin berkata ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, gabungan itu juga tidak memberikan peruntukan yang sama kepada pembangkang.

Mengulas lanjut, Loke berkata di bawah kerajaan PH, setiap anggota parlimen pembangkang diberi peruntukan RM100,000 dan mereka mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlahnya secara berfasa..

“Sebelum 2018, tak ada MP pembangkang yang dapat satu sen pun dari kerajaan. Tapi di bawah PH, kita dah ubah sikit dan beri RM100,000.

“Pada ketika tu, kita baru ambil alih (kerajaan). Kita rasa akan tingkatkan angka itu secara berfasa.

“Dan hakikatnya sekarang ini mereka bagi balik RM100,000 juga kepada kita. Tapi saya berpandangan bahawa kita tak payah ada tic for tac (membalas dendam) punya cara,” katanya.

Loke berpendapat Umno tidak akan bersetuju untuk memberikan peruntukan yang sama kepada anggota parlimen Pembangkang.

“Saya rasa Umno takkan setuju perkara ni, kerana kalau ada perjanjian macam ni, maknanya pihak pembangkang ada persefahaman dengan PM.

“Umno punya bargaining power (kuasa tawar menawar) habislah. Mereka (Umno) lihat strategi mereka sendiri.

“Bagaimana nak ada reconciliation kalau perkara macam ni pun tak boleh bekerjasama,” katanya.

Sumber: Malaysiakini