Dapat restu keluarga, Fuad & Tom nikah sebelum Ramadan

Dapat restu keluarga, Fuad & Tom nikah sebelum Ramadan

 

Penyanyi dari Singapura, Fuad Rahman mengesahkan bakal menamatkan zaman duda dalam tempoh terdekat apabila membuat keputusan bernikah dengan kekasih hatinya, Tom.

Fuad yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berkata, dia sudah mempunyai perancangan dan mereka akan mengadakan majlis pernikahan sebelum Ramadan ini.

Tambah Fuad, dia dan Tom yang juga seorang penyanyi akan mendahulukan perkara yang wajib terlebih dahulu dan kemudiannya barulah majlis resepsi memandangkan sudah mendapat restu daripada keluarga.

“Perancangan untuk majlis pernikahan ini juga mendapat restu daripada keluarga kedua belah pihak.
“Kami mahu mengadakan majlis pernikahan terlebih dulu dan majlis resepsi pula mungkin akan dibuat selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuad memberitahu dia terbabit dengan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati – Fauziah Ahmad Daud yang dipentaskan jam 8 malam ini di Gateway Theatre, Singapura di mana dia akan menyampaikan dua lagu popular iaitu Azura dan Sandarkan Pada Kenangan.

Bukan itu sahaja, Tom yang juga peserta GV9 turut hadir memberi sokongan kepada kekasihnya.

Terdahulu, Fuad mendedahkan hubungannya dengan Tom bukan lagi rahsia apabila bersikap terbuka mengatakan sedang hangat bercinta sejak beberapa bulan lalu selepas menyertai program GV9.

Bermula dari disitu, mereka sentiasa menunjukkan kemesraan di media sosial dan mengatakan bakal mendirikan rumah tangga meskipun pada ketika itu mahu menumpukan fokus pada kerjaya masing-masing.

Sekadar info, Fuad pernah berkahwin dua kali dan Tom pula tiga kali. Mereka juga sudah mempunyai anak-anak yang sudah mencecah usia belasan tahun.