“Dapat suami dingin dan tak banyak cakap, menyesal kahwin dulu tak ikut cakap mak, stres aku”

“Dapat suami dingin dan tak banyak cakap, menyesal kahwin dulu tak ikut cakap mak, stres aku”

 

Seorang wanita mula merasakan dirinya langsung tidak dihargai oleh suami yang disayanginya selepas hampir dua tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.

Gigih berusaha mengambil hati dan memberi perhatian penuh kepada suami, wanita dikenali sebagai Wardah itu malah menerima layanan yang sangat dingin daripada lelaki berkenaan.

Hampir berputus asa menyelamatkan rumah tangganya, berikut perkongsian Wardah yang membuat perkongsian menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum di atas talian.

“Assalamualaikum, saya Wardah. Ini kali pertama nak meluah. Saya buntu, tertekan dan sunyi kerana tiada ahli keluarga di sisi. Mereka semua dekat luar negara. Hanya tinggal saya dan adik bongsu yang sedang belajar tahfiz di pondok. Saya berusia 25 tahun, masih mengikuti pengajian sarjana muda (degree) untuk tahun ketiga.

“Saya sebenarnya sudah berkahwin hampir dua tahun setengah. Tetapi maaflah jika tulisan ini agak kebudakan. Kawan semua kata saya ini manja, baik hati, suka tolong dan positif sentiasa. Tetapi semakin lama, saya rasa diri yang selama ini happy-go-lucky dan baik hati semakin hilang. Semakin rasa diri tak berguna.

“Tolong berikan kata semangat untuk saya. Perlukah saya meneruskan perkahwinan atau berpisah sahaja dengan suami? Kalau berpisah, malu juga sebab baru dua tahun setengah kami berkahwin. Jika bertahan pula, saya yang akan mental pula sebab sudah terlalu tertekan. Saya ini sensitif orangnya, namun penyayang.

“Mak pula kata saya seorang yang naif. Selain itu suka membebel. Tetapi, semua itu saya lakukan sebagai tanda sayang. Saya rasa sudah berbakti yang sehabis baik untuk suami. Tak pernah terlupa hantar pesanan di Whatsapp kepada suami, bertanya sama ada dia sudah makan atau belum sebelum balik kerja.

“Sebabnya suami saya ini hanya makan nasi sekali sehari sahaja. Kalau suami sudah makan nasi, maka saya akan masak hidangan selain nasi. Setakat ini, saya juga tak pernah mengingkari nasihat suami. Kalau suami datang mendekat, memang saya tak pegang telefon bimbit. Saya selalu menyediakan makanan sihat untuknya.

“Saya juga tak lupa menasihati suami supaya dia tak lagi mengambil makanan yang terlalu manis. Selalu gosokkan baju dan buat perawatan muka untuknya di rumah. Malahan, saya sanggup berpenat lelah mengambil pesanan membuat pencuci mulut semata-mata untuk mendapatkan duit dan menggunakannya buat kegembiraan suami.

“Suami saya seorang cikgu. Orangnya kadang-kadang banyak juga cakap. Sesekali sangat dingin dan tegas juga, Saya kalau ditengking akan automatik jadi baran dan bising balik. Jadi kebanyakan masa apabila dia menegur secara kasar, saya akan berubah jadi kasar juga. Nak sangat suami tegur secara lemah lembut.

“Teringin merasa suami pegang kepala ketika bercakap. Adakah itu semua di dalam drama sahaja? Atau saya tak bersyukur sebenarnya. Betullah mak saya kata dahulu, perempuan kena cari orang yang sayangkan kita. Bukan kita yang terhegeh-hegeh. Semua orang kata suami beruntung dapat saya.

“Sebabnya saya boleh menjahit, memasak, dekan setiap sem serta pandai meniaga. Tetapi, kenapa hidup saya masih lagi tak bahagia? Kenapa suami masih tak hargai saya. Sedangkan, saya tak minta emas permata. Saya cuma mahukan kasih sayang, perhatian dan kata-kata yang lembut sahaja.

“Sekarang saya sudah hilang sifat manja dan keanakan. Lebih suka berdiam. Suami cakap sepatah, saya jawab sepatah. Adakah dikira derhaka? Saya tertekan. Mungkin saya kena solat Tahajjud 40 hari berturut-turut. Siapa disini ada suami dingin dan tak banyak cakap? Boleh kongsi tips atau nasihat.” Pinta Wardah (bukan nama sebenar).