Darurat Memerangi Covid-19: Prihatin rakyat atau propaganda kerajaan PN?

Darurat Memerangi Covid-19: Prihatin rakyat atau propaganda kerajaan PN?

BERMULA semalam, semua jabatan di bawah pentadbiran kerajaan diwajibkan untuk menggunakan frasa baru “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19” dalam semua urusan persuratan rasmi.

Penggantian frasa ini dikatakan sejajar dengan usaha kerajaan mengisytiharkan proklamasi darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19. Namun begitu, penggantian frasa ini hanya dilihat sebagai sebuah persembahan yang tuli dan buta dengan keluhan rakyat.

Apakah frasa baru ini cadangan yang datang daripada petugas barisan hadapan seperti pakar-pakar perubatan atau adakah frasa ini hanya sebahagian daripada propaganda politik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang dikuatkuasakan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam?

Kerajaan Perikatan Nasional menggambarkan seolah-olah tiada cara lain untuk melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19 melainkan dengan mengisytiharkan darurat.

Bukankah perkara seperti pemberian vaksin berskala besar dan pemerkasaan SOP perlu ditekankan apabila berhadapan dengan pandemik ini?

Tambahan pula, kita lihat negara-negara lain berbelanja wang berbilion-bilion nilainya untuk membeli dos vaksin, dan mereka sudahpun memulakan program vaksinasi.

Tidak dilupakan juga, angka jangkitan mereka lebih tinggi dan mereka tidak mengisytiharkan darurat untuk mengatasi masalah Covid-19.

Dalam pada itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak dibenarkan untuk bersidang sedangkan taska boleh.

Jelasnya, proklamasi darurat ini hanya dilihat sebagai senjata politik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan beliau.

Terdapat banyak lagi pilihan frasa-frasa yang lebih sesuai boleh diguna pakai untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mendepani cabaran Covid-19.

“Pelitup Muka Memerangi Covid-19”, “Jarak Sosial Memerangi Covid-19”, “Kebersihan Kendiri Memerangi Covid-19” dan “Vaksin Memerangi Covid-19” adalah antara pilihan yang lebih tepat untuk dijadikan cogan kata dalam usaha kawalan dan pencegahan jangkitan wabak Covid-19 daripada “Darurat Memerangi Covid-19”. – 27 Januari, 2021.

* Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Negara Merdeka. – TMI