Data terkini kadar kesuburan penduduk Kedah menurun selepas ditadbir Pas

Data terkini kadar kesuburan penduduk Kedah menurun selepas ditadbir Pas

Kedah telah mencapai negeri menua dengan penduduk berumur 65 tahun dan lebih telah mencecah 7.9 peratus pada 2020.

Berdasarkan penemuan utama banci 2020, Kedah telah mencapai negeri menua dengan semua daerah pentadbiran kecuali Langkawi telah mencapai 7.0 peratus komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Komposisi penduduk umur tua yang tertinggi dicatatkan di daerah Kota Setar (8.5%) dan Kuala Muda (8.2%).

Menurutnya, pertumbuhan penduduk yang lebih perlahan ini berikutan penurunan berterusan dalam Kadar Kelahiran Kasar dan Kadar Kesuburan Jumlah.

Kadar Kelahiran Kasar bagi Kedah menurun kepada 15.5 bagi setiap 1,000 penduduk (2010: 18.0) sementara Kadar Kesuburan Jumlah menurun kepada 2.0 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun (2010: 2.6).

Jangkaan hayat pula mencatatkan peningkatan kepada 73.7 pada 2020 (2010:72.8).

Komposisi penduduk umur muda (0-14 tahun) di Kedah pada 2020 mencatatkan 25.3 peratus, umur bekerja (15-64 tahun) 66.8 peratus serta umur tua (65 tahun dan lebih) sebanyak 7.9 peratus.

Peratusan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) negeri Kedah meningkat berbanding hanya 6.2 peratus pada 2010.

Berdasarkan takrifan United Nation, terdapat tiga kategori penuaan iaitu ageing society, aged society dan super-aged society yang mana masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah 7 peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

Berdasarkan penemuan utama Banci Malaysia 2020, penduduk Kedah mencecah 2.1 juta orang (2010: 1.9 juta) dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 1.2 peratus (2010: 1.9%).

Jabatan Perangkaan berkata, Kedah merupakan antara lima negeri yang mencatatkan pertumbuhan melebihi paras nasional iaitu dengan 3.2 peratus, selain daripada Perak (3.5%), Terengganu (3.6%), Selangor (5.0%) dan Pulau Pinang (6.8%).

Struktur ekonomi utama Kedah disumbangkan oleh sektor perkhidmatan 54.5 peratus, diikuti sektor pembuatan 30.5 peratus dan sektor pertanian 11.9 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita edah pada 2021 meningkat kepada RM23,119 daripada RM22,162 pada 2020