Datuk Red enggan bergantung pada ‘gift’ TikTok walau raih puluhan ribu sehari, ini sebabnya…

Datuk Red enggan bergantung pada ‘gift’ TikTok walau raih puluhan ribu sehari, ini sebabnya…

 

Ahli perniagaan yang kini muflis, Datuk Red mengaku telah memperoleh pendapatan lumayan selepas bergiat aktif melakukan siaran langsung di aplikasi TikTok.

Walau bagaimanapun, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adenan Abu itu enggan lagi bergantung kepada ‘gift’ atau sumbangan pengikutnya untuk mendapatkan wang.

Sebaliknya, Datuk Red lebih selesa sekiranya penonton membelanjakan duit mereka dengan membeli produk yang ditawarkannya di dalam sesi siaran langsung tersebut.

“Sebelum saya buat siaran langsung, sudah ramai orang DM (hantar pesanan secara terus) untuk beri sumbangan. Saya kata, tak minta pun duit. Saya hanya minta kerja. Mula buat ‘live’ pun nak cerita fasal kehidupan saya sahaja.

“Tetapi, orang asyik berikan ‘gift’ kepada saya. Sampaikan singa tak sempat lagi nak mengaum, terus datang kereta api dan ikan paus. Terkejut saya. Seronok juga kerja macam itu sambil lepak kedai mamak.

“Sehari boleh dapat RM10,000. Kalau sebulan tak ke boleh dapat cecah RM300,000. Ikutkan saya boleh sahaja buat kerja itu hari-hari. Tetapi saya tak mahu. Biarlah saya meniaga, sekurangnya dapat hasil daripada barang yang dijual,” katanya.

Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi iaitu Adira itu turut memberitahu dirinya juga tidak mahu anak-anak melihatnya seperti peminta sedekah mengharapkan ‘gift’.

Masih mempunyai maruah, Datuk Red akan berusaha keras selagi ada kudrat untuk menyelesaikan semua hutangnya semenjak disytiharkan muflis pada tahun 2019 lalu.

“Anak-anak sudah mula menonton siaran langsung saya di TikTok. Nanti mereka kata saya macam peminta sedekah. Saya tak mahu macam itu. Susah macam mana pun, saya pilih untuk meniaga.

“Sebabnya, tidak akan selesai hutang-hutang itu dengan meminta sedekah. Jadi, biarlah saya bekerja sendiri. Saya masih ada maruah dan kuat lagi untuk mencari duit,” kata ahli perniagaan berusia 46 tahun itu.

Perkara tersebut dikongsi Datuk Red di dalam satu sesi temuramah bersama media yang turut dirakamkan sebelum dimuat naik di laman TikTok milik @majalahwanita.

@majalahwanita

Niat Datuk Red nak cari kerja, bukan minta sumbangan walau sehari buat live TikTok boleh raih puluhan ribu ringgit #wanita #utusantv #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #fyp #datukred

♬ original sound – Majalah Wanita – Majalah Wanita

Terdahulu, Adira yang juga isteri kedua Datuk Red memfailkan penceraian terhadap suaminya itu pada 25 Oktober tahun lepas dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Kemudian pada Januari lalu, isteri pertama Datuk Red iaitu Datin Seri Syarifah Nur Shafila Hassim pula turut memfailkan penceraian terhadap ahli perniagaan tersebut.

Tidak lama selepas itu, Datuk Red pada Mac lalu mendedahkan bahawa dirinya kini sedang mencari pekerjaan setelah menganggur sejak jatuh muflis pada tahun 2019.