Dd Chronicles buat laporan polis, tegaskan dia bukan pendatang tanpa izin
Dd Chronicles tampil membuat laporan polis selepas wujud dakwaan bahawa dirinya adalah seorang pendatang tanpa izin (PATI) yang menyalah guna kad pengenalan biru di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh, lapor Sinar Harian.
Beliau yang berusia 43 tahun menegaskan walaupaun ibu bapanya adalah pemegang kad pengenalan merah, tetapi beliau lahir di negara ini dan dibesarkan di Malaysia serta mendapatkan pendidikan disini.
Tindakan beberapa pihak yang menyatakan bahawa dia adalah pendatang asing adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Tambah beliau lagi, tindakannya berkempen juga seharusnya tidak dijadikan isu kerana ia merupakan satu kebebasan untuk berpolitik di negara ini.
“Malaysia merupakan negara demokrasi, jadi saya merasakan tidak menjadi salah untuk saya menyokong atau memilih wadah politik tertentu. Saya berhak menyuarakan pandangan dan pendapat saya demi masa depan anak cucu saya kelak,” katanya.
Laporan yang dibuat olehnya hari ini adalah untuk menjaga keselamatan beliau selepas melihat bagaimana tuduhan palsu ini telah memberi kesan negatif kepada keluarganya.
Selain itu, laporan yang dibuat olehnya hari ini juga berkaitan dengan satu polisi insurans yang tertera nama Dediy telah disebarkan di media sosial. Peguamnya, Asiah Abd Jalil berkata bahawa anak guamnya tidak pernah memohon untuk menyertai skim insurans tersebut.