Debat dengan Anwar, Najib masih punya masa buat ‘u-turn’

Debat dengan Anwar, Najib masih punya masa buat ‘u-turn’

PKR menolak alasan bahawa cadangan debat antara presiden parti itu, Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak jika diadakan bulan ini sebagai tidak menghormati Ramadan.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Islam tidak melarang untuk berdebat pada bulan puasa.

“Di bulan Ramadan apa yang dilarang ialah berbuat jahat, umat Islam tidak dilarang berdebat.

“Kalau Najib tidak berasa yakin pada bulan Ramadan, cakap je la tak yakin sekarang,” kata Fahmi kepada Malaysiakini.

Najib dan Anwar bersetuju untuk berdebat mengenai masalah kewangan Sapura Energy Bhd – tetapi terma perbahasan, serta masa dan tempat, belum ditetapkan.

Fahmi mengulas alasan yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil yang berkata bulan puasa adalah masa untuk menumpukan soal ibadah, bukan berdebat.

“Kita tiada masalah kalau Anwar nak berdebat malam ini sekali pun, tetapi hormatilah orang-orang yang berpuasa dan bersolat tarawih beberapa minggu ini sahaja pun.

“Takkan nak mula debat semasa berpuasa atau selepas Tarawih dan habis tengah-tengah malam?

“Lepas habis bulan puasa, kita debatlah sepuas hati,” katanya pada hantaran di Facebook, semalam.

Fahmi bagaimanapun berhujah bahawa alasan tersebut tidak masuk akal.

Ini memandangkan Parlimen juga bersidang pada Isnin lalu semasa umat Islam menjalani ibadah puasa ketika membahaskan undang-undang anti lompat parti, manakala beberapa pilihan raya kecil lalu juga pernah diadakan pada bulan Ramadan.

Malah, katanya Nabi Muhammad SAW juga terlibat dalam peperangan semasa Ramadan – seperti contoh semasa perang Badar ketika menawan kota Makkah.

Justeru, katanya Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada berdebat.

“Bagi saya, Ramadan bukan satu isu dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Kita sepatutnya jalani kehidupan seperti laziomnya.

Malah, Ramadan adalah masa terbaik untuk menunjukkan bagaimana kita boleh berbeza pandangan, berhujah dengan cara beradab, daripada melontar fitnah.

“Sebenarnya bulan Ramadan adalah paling sesuai untuk menunjukkan bagamana pimpinan tertinggi dalam Malaysia boleh menjadi contoh walau berbeza pandangan, boleh bertukar fikiran dengan cara penuh adab.” katanya.

Fahmi dan Isham dijangka merundingkan syarat dan terma perdebatan itu lewat hari ini.

Selain masa dan tarikh, perkara lain yang akan dibincangkan ialah rakan media dan pengacaranya, katanya.

Sapura Energy ialah syarikat senarai awam yang menerima pelaburan besar daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) milik kerajaan, yang bertanggungjawab ke atas dana seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia.

PNB memegang 40 peratus kepentingan dalam Sapura Energy, berbanding sekitar hanya 10 peratus pada 2018 dan terus menyuntik wang ke firma yang berdepan dengan cabaran kewangan itu.

Sapura Energy baru-baru ini dilaporkan masih memerlukan bantuan kewangan tambahan, dan ini menimbulkan persoalan jika PNB perlu menyalurkan lebih banyak dana untuk mengelakan firma itu daripada terjerumus dengan masalah kewangannya.

Najib sebelum ini mencadangkan kerajaan untuk menyelamatkan Sapura, manakala Rafizi Ramli yang mewakili PKR berkata pengurusan baharu syarikat itu mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri.