Dedah wajah pelajar, peguam nasihat guru ‘influencer’ patuhi garis panduan KPM

Dedah wajah pelajar, peguam nasihat guru ‘influencer’ patuhi garis panduan KPM

Baru-baru ini, dunia maya dikejutkan dengan perkongsian video menyayat hati membabitkan seorang pelajar dari sebuah keluarga kurang berkemampuan.

.
Video berdurasi 4 minit yang dikongsi pemilik akaun FB bernama Cik Puan Gojes itu memaparkan perbualan guru bersama seorang muridnya yang tidak menyertai rakan-rakannya ketika kelas pendidikan jasmani.

Ini kerana pelajar tersebut memaklumkan tidak mempunyai baju sukan ketika disoal guru tersebut. Selepas berkongsi latar belakang keluarganya, guru tersebut berjanji untuk membelikan baju sukan tersebut untuknya.

Perkongsian yang mwnjadi tular itu mendapat tanda suka lebih 65 ribu dan dikongsi sebanyak 3500 kali.

Namun tanpa disangka, muncul pula isu lain berpunca daripada perkongsian guru tersebut.

Berkongsikan pengetahuannya dalam bidang undang-undang, seorang peguam wanita terhangat ketika ini, Nor Zabetha tampil mengulas isu berbangkit dalam satu hantaran FBnya.

Dia menulis…

Saya suka orang yang dermawan. Saya kagum dengan orang yang baik hati. Rata-rata orang di Malaysia ini memang jenis pemurah dan baik hati. Sentiasa menderma secara senyap-senyap dan ada yang secara terbuka.

Tindakan guru memberi derma kepada anak-anak murid, itu bagus. Video yang dimuatnaik mendapat jutaan views. Cuma dari satu sudut sebagai penjawat awam yang memuatnaik video dengan mempamerkan wajah anak murid dan keluarga yang ingin dibantu kepada jutaan orang, saya tidak setuju.

Saya melihat dari sudut yang lebih luas lagi tentang praktis penjawat awam yang memuatnaik wajah-wajah pihak lain. Begini, kalau muatnaik tentang isu pekerjaan dan tugasan itu saya rasa tidak menjadi masalah.

Misalnya doktor bawah KKM, guru bawah KPM yang menceritakan tugasan harian mereka dan aktiviti dan lain-lain. Saya rasa tiada masalah selagi tidak bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002 PU(A) 246/2002

Pernah tular sebelum ini seorang polis wanita seorang anggota beruniform yang memuatnaik video tiktok dengan pakaian beruniform dan gambar tertuduh/suspek wanita di sebelah. Ramai netizan tidak setuju.

Saya bayangkan jika budaya memuatnaik wajah orang lain tanpa dikaburkan atau dirahsiakan identitinya oleh penjawat awam telah menjadi norma baharu.

Bayangkan, seorang petugas KKM di hospital memuatnaik wajah pesakit terlantar di hospital, “Inilah tuan-tuan wajah pakcik tua yang tidak dilawat oleh anak-anak di hospital. Saya harap jangan ada anak-anak yang begini”, tujuannya mungkin hendak menasihati tetapi kesannya?

Atau mungkin seorang petugas JKM yang memuatnaik wajah anak-anak yatim yang dalam jagaan mereka, “Inilah wajah-wajah yang diabaikan, dibiarkan dan ditinggalkan. Semoga diberi kesedaran kepada ibu bapa mereka mempunyai tanggungjawab”, tujuannya hendak beri peringatan tetapi kesannya?

Payah kalau begini. Seorang buat, ada bakal mengikut. Sampai satu masa semua orang juga muatnaik sehingga, ada larangan keras terus. Siapa-siapa pun tidak boleh muatnaik apa-apa walaupun berkenaan perkongsian pekerjaan harian yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.

Saya bimbang jika situasi ini menjadi normal dan menjadi ikutan. Suka atau tidak, zaman sekarang banyak perkara sudah melalui proses normalisasi. Sebab golongan remaja sudah menganggap hal itu biasa-biasa.

‘Alah biasalah letak ‘unboxing isteri’ bukan aksi dalam kelambu. Kecohlah yang tak setuju’, ada golongan yang berpendapat begini. Golongan muda anggap ini biasa dan kita yang rata-rata mencapai usia 30 an ke atas ini menganggap hal ini tidak boleh dipandang remeh.

Punyalah segalanya demi content sehinggakan semalam tular, 3 remaja yang memuatnaik video sebelum dan selepas dengan mempamerkan jenazah bapa mereka yang meninggal dunia. Haih.

Entahlah. Budaya mencari content yang kian menjadi normal. Remaja-remaja ini jika dapat popular sekejap sahaja mereka sudah suka. Tidak fikir kesan panjang. Tidak fikir lagi beberapa tahun video ini masih kekal.

Sebab itulah, zaman media sosial ini jangan ambil remeh hal yang nampak kecil dan kalau dibuat beramai-ramai itu payah juga.

Sebagai seorang guru dan influencer, memang sangat menjadi ikutan masyarakat dan pelajar. Pelajar-pelajar ini sentiasa memandang tinggi kepada guru mereka.

Saya teringat sewaktu kanak-kanak dahulu, kadang-kadang apabila ada sesuatu perkara yang timbul dan ibu bapa saya berpesan, saya akan jawab “Tapi cikgu kata macam ni” atau “Tapi cikgu pesan macam ni”.

Begitulah besarnya impak seorang guru dalam kehidupan kanak-kanak. Kadang-kadang guru lebih betul dari ibu bapa. Jadi amat penting guru memberi contoh tauladan yang baik.

Kalau kita hendak ajar anak murid kita, jangan rakam video di sekolah. Jangan muatnaik muka rakan-rakan lain. Itukan kerahsiaan. Tetapi pada mereka “Tapi cikgu pun buat juga. Tak salah pun. Ramai orang suka. Kami hendak jadi popular seperti cikgu juga”.

Mungkin pandangan saya berbeza. Mungkin ada berpendapat, asalkan dia derma tetapi hal melibatkan kanak-kanak ini lain dan sangat sensitif. Ini belum saya masuk bab undang-undang, hanya pandangan saya tentang impak situasi begini sahaja.

Sekali lagi saya tekankan, saya suka orang yang mulia hatinya. Banyak saluran dan cabang yang betul. Insyallah kalau kita ikut salurannya, mudah segala urusan.

Oleh Nor Zabetha

Sumber – Facebook Nor Zabetha