“Demi Allah memang betul terjadi,” – Bell kongsi pengalaman dihina tak cukup inci oleh pengarah drama
Pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri mendedahkan dia pernah dihina pengarah terkenal yang mempertikaikan bakat lakonannya kerana dia bertubuh pendek.
Memetik BH Online, Bell bagaimanapun berkata dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata penghinaan tersebut sebaliknya menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
“Sepanjang hidup saya sebagai artis, saya banyak melalui pahit manis. Pernah ada yang berkata kepada saya, ‘Macam ni ke jadi artis, badan ketot macam kau ni?”
“Demi Allah, ini memang betul terjadi. Pengarah berkata begitu ada dalam (panggung) tadi. Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu ia akan melunturkan semangat diri.
“Tetapi, Alhamdulillah, ini adalah satu bukti kepada mereka yang pernah buat begitu pada saya,” katanya.
Sementara itu, meskipun berdepan pelbagai dugaan namun dia tidak pernah berputus asa malah tiada rasa dengki terhadap artis lain yang lebih menyerlah berbanding dirinya.
“Walaupun orang pernah buat tak peduli kepada saya, tetapi saya tetap suka nak bantu untuk naikkan orang lain.
“Kalau nak ada perasaan dengki sejak dulu lagi saya boleh nak dengki dengan orang. Tetapi, saya bersyukur tiada sedikit pun perasaan dengki dalam diri.
“Saya lagi seronok sokong kawan-kawan saya lain seperti Zizan Razak, Johan dan Achey. Alhamdulillah, sekarang ini mereka juga menyokong saya.
“Mungkin disebabkan saya tak pernah nak berdengki dengan orang, Allah berikan saya rakan-rakan yang membantu menaikkan saya,” katanya.