Demi dadah, ibu sanggup biar anak perempuan 3 tahun dirogol teman lelaki
Seorang ibu tergamak menjual anak perempuannya yang berusia tiga tahun kepada teman lelakinya hanya kerana ingin mendapatkan bekalan dadah jenis kokain bagi menghilangkan ketagihannya.
Lebih malang, kanak-kanak yang dikenali sebagai Luz Maida itu dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh teman lelaki ibunya.
Insiden itu berlaku apabila Aurelia Salinas, 42, mengejutkan Luz pada awal pagi pada minggu lalu di rumah mereka di Pedro Juan Caballero sebelum dia diserahkan kepada teman lelakinya.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan teman lelaki Aurelia mendukung Luz, dipercayai membawanya ke sebuah rumah kosong sebelum dia dirogol dan dibunuh.
Tidak sampai 24 jam kemudian, mayat kanak-kanak tidak berdosa itu ditemukan oleh penduduk setempat di lokasi kejadian dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.
Laporan perubatan yang dikeluarkan hospital memaklumkan, kanak-kanak perempuan itu dilemaskan sebelum dirogol.
Penduduk setempat kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada polis dan ibunya ditahan bagi membantu siasatan.
Ketika disoal siasat, Aurelia mengakui menjual anak perempuannya kepada teman lelakinya untuk mendapatkan bekalan kokain.
Pada mulanya, wanita itu cuba berdalih dengan menyatakan anak perempuannya hilang ketika tidur sebelum mengaku salah.
Tidak lama kemudian, teman lelakinya juga ditahan dan turut mengaku merogol serta membunuh kanak-kanak tersebut.
Polis memaklumkan, ketika ditahan, Aurelia dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah.
Mayat Luz kemudiannya dikebumikan dengan dihadiri kira-kira 300 orang dan rumah kosong yang menjadi lokasi kanak-kanak itu dibunuh dibakar oleh penduduk setempat.