Demi konsert OAG 30 tahun, Radhi terdesak pinjam Ah Long RM50,000

Demi konsert OAG 30 tahun, Radhi terdesak pinjam Ah Long RM50,000

Vokalis kumpulan OAG, Radhi OAG mendedahkan terpaksa meminjam wang berjumlah RM50,000 daripada Ah Long demi meneruskan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Disember lalu.

Bajet

Memetik laporan Buletin TV3, penyanyi berusia 46 tahun itu menjelaskan perkara tersebut berlaku disebabkan keadaan yang terdesak pada hari konsert dipentaskan berikutan berdepan masalah kewangan.

Pada jam 3 petang hari konsert itu berlangsung, pentas belum siap kerana kami tiada duit. Jadi, kami ambil keputusan pinjam daripada Ah Long walaupun tahu ia bukanlah idea baik.

Kami terpaksa pinjam Ah Long kerana mahu teruskan konsert. Pada hari itu juga, Ah Long datang dari Pulau Pinang dan bawa wang sebanyak RM50,000.

Wang itulah digunakan untuk membina set di pentas dan persiapan lain konsert. Kalau tidak, memang tidak akan berlaku apa-apa pada malam itu.

Teruskan konsert demi peminat

Dalam pada itu, Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali turut memaklumkan kebanyakan tiket konsert itu terpaksa diberi percuma kerana masa yang terhad dan pelbagai masalah lain.

Sejujurnya, kami tidak mahu teruskan konsert itu kerana kesuntukan masa. Ini ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti kos penganjuran.

Namun, disebabkan peminat, kami teruskannya. Ramai ingat tiket itu habis terjual, sebaliknya, banyak yang diberi percuma. Kalau diikutkan boleh sahaja untuk jual semuanya, tetapi masa sangat terhad.

Ujar Radhi, masalah berhubung proses penganjuran konsert itu mungkin menjadi penyebab pemain drum mereka, Qi Razali mengambil keputusan meninggalkan kumpulan OAG selepas 30 tahun bersama.

Sebenarnya, tiada apa pun yang berlaku antara kami dan Qi. Kami sama sekali tidak bergaduh. Malah, baru berjumpa beberapa hari lalu. Cuma, keputusan Qi untuk berundur mungkin dipengaruhi proses mementaskan konsert berkenaan.