Denda RM1,000 naik kenderaan lebih dari 2 orang
Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menetapkan hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar bagi mendapatkan bekalan keperluan.
Mana-mana keluarga yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.
Ini termasuk isi rumah yang mematuhi peraturan dua individu dalam satu kenderaan, tetapi melakukan perjalanan dengan menaiki banyak kenderaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Abd Rahim Jaafar berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan hanya dua orang dari setiap isi rumah yang dibenarkan keluar dari rumah.
Bagaimanapun katanya, terdapat keluarga yang cuba meninggalkan rumah secara berkumpulan dan memberi pelbagai alasan kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya rakyat membuat tafsiran mereka sendiri mengenai prosedur operasi standard, maka PKPB akan kehilangan kesannya,” kata Abd Rahim dipetik Sin Chew Daily.
Berdasarkan prosedur operasi standard MKN, hanya dua individu dari satu isi rumah dibenarkan keluar dari rumah sama ada untuk membeli barangan keperluan atau makan di restoran.
PKPB kini dikuatkuasakan di semua negeri dan wilayah persekutuan kecuali di Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak dalam usaha menghentikan penyebaran Covid-19.
Sehingga tengah hari semalam, seramai 11,308 orang dirawat akibat dijangkiti Covid-19 dan jumlah ini meningkat daripada 3,836 sebulan yang lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan dipetik Nanyang Siang Pau berkata kelonggaran boleh diberi dalam keadaan tertentu.
Misalnya, katanya, sekiranya ibu bapa yang bekerja harus membawa anak-anak mereka kepada pengasuh.
“Sekiranya kereta itu besar dan penumpang dalam kereta dapat melakukan jarak fizikal, maka empat orang dibenarkan. Semuanya bergantung pada keadaan. Ini bukan peraturan yang rigid,”katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang mahu melakukan perjalanan dengan lebih daripada dua orang bagi setiap kenderaan mesti mendapatkan kebenaran daripada polis.
Sumber: Malaysiakini