Dengan had jemaah hanya 12 orang, usaha Terengganu kempen vaksin guna khutbah Jumaat dianggap sia-sia

Dengan had jemaah hanya 12 orang, usaha Terengganu kempen vaksin guna khutbah Jumaat dianggap sia-sia

Semua masjid di Terengganu akan memulakan kempen kesedaran kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 menerusi penyampaian khutbah Jumaat, mulai minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin.

Beliau berkata, Jabatan Mufti negeri juga bersetuju mengeluarkan fatwa termasuk hukum pengambilan vaksin Covid-19.

“Selain itu, imam dan bilal di semua masjid dan surau di negeri ini diminta menguar-uarkan kempen suntikan vaksin Covid-19, sebelum dan selepas menyampaikan azan solat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Rozi berkata, MAIDAM tiada halangan untuk turut sama membantu kerajaan memerangi penularan pandemik Covid-19 dan melancarkan kempen kesedaran kepada semua masyarakat supaya mendapatkan suntikan imunisasi Covid-19.

Terdahulu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meminta pihak berkuasa agama negeri memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

Sehingga kini, lebih 1.6 juta daripada 10.85 juta rakyat yang sudah mendaftarkan diri sudah menerima vaksin dan di Terengganu 299,742 rakyat negeri itu sudah mendaftar membabitkan 35.61% daripada populasi penduduk di sana. – FMT