Dengkikan kejayaan AKSB uruskan air di Kelantan dianggap punca dokumen sulit bonus RM10 ribu 9 pengarahnya bocor

Dengkikan kejayaan AKSB uruskan air di Kelantan dianggap punca dokumen sulit bonus RM10 ribu 9 pengarahnya bocor

Pemberian sagu hati setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merupakan prosedur biasa dalam syarikat berkenaan.

Memetik Awani, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, sagu hati tersebut adalah bagi menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pengurusan.

“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu, tular dalam media sosial salinan dokumen sulit yang menyatakan, setiap ahli lembaga pengarah AKSB diberi sagu hati sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM10,000.

Kakitangan AKSB pula menerima sagu hati sebanyak RM200 seorang manakala setiausaha syarikat diberi RM2,000.

“Walaupun dokumen sulit dan hanya boleh dicapai oleh segolongan orang tertentu sahaja, tetapi ia kini disebar secara tidak wajar untuk tujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Beliau berkata, pembahagian sagu hati itu turut dibandingkan dengan jumlah yang diterima oleh kakitangan.

“Soal perbandingan dengan jumlah kepada kakitangan, pada saya ia tidak berbangkit kerana sebelum perkara ini tular, langkah penambahbaikan sudah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam lain.

“Jika orang PAS sejahat mereka yang menyebarkan dokumen sulit dan berniat memburukkan kerajaan, boleh sahaja didedahkan bayaran-bayaran ‘one off’ bersifat setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah GLC Persekutuan yang bukan sedikit juga jumlahnya termasuk syarikat air negeri-negeri.

“Saya masih optimis dengan tatakelola yang baik bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi juga membabitkan soal integriti termasuk tindakan buruk mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa mereka yang mencanangkan prosedur dalaman kepada pihak pengadilan.