Di mana bocornya peruntukan pembelian vaksin sebanyak RM3 bilion?

Di mana bocornya peruntukan pembelian vaksin sebanyak RM3 bilion?

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan ke mana perginya peruntukkan asal berjumlah RM3 bilion seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin Covid-19 bagi kegunaan 85 peratus rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan itu juga membangkitkan terhadap peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah belanjawan pembelian vaksin sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

“Kenapa masih perlu kikis tabung simpanan masa depan negara jika sudah meminjam RM85 bilion dan menjual banyak aset dalam tempoh empat bulan sejak permulaan tahun?” soal Najib dalam Facebook beliau hari ini.

Pada Rabu lalu, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelajaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021. Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Tindakan kerajaan itu mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak termasuk UMNO apabila Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan bimbang kenapa kerajaan tiba-tiba memerlukan dana KWAN walaupun tambahan peruntukan program imunisasi Covid-19 ditambah ke RM5 bilion telah dibuat sebulan lalu.

Dalam pada itu, Najib menempelak hujah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan apabila menyamakan isu KWAN seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan untuk dikeluarkan oleh rakyat sedangkan tidak patut disentuh atas alasan untuk kegunaan masa depan.

Kata beliau, terdapat perbezaan kerana rakyat tidak pinjam sekitar RM85 bilion termasuk RM5.4 bilion dari pinjaman asing Sukuk Hijau dibuat minggu lalu dalam tempoh empat bulan sejak darurat bermula.

“Sebab rakyat biasa dibenar buat pengeluaran i-Sinar daripada  simpanan KWSP maka kerajaan pun mahu buat pengeluaran ala i-Sinar daripada tabung simpanan KWAN.

“Itulah jawapan diberi PPBM (Bersatu) semalam kenapa kerajaan guna ordinan darurat untuk korek tabung amanah KWAN berjumlah sebanyak RM16.9 bilion yang dibina masa BN (Barisan Nasional),” katanya. – Utusan