Di sebalik amaran GPS agar parti semenanjung tidak bertanding PRN nanti, Bersatu tetap berharap diberi beberapa kerusi

Di sebalik amaran GPS agar parti semenanjung tidak bertanding PRN nanti, Bersatu tetap berharap diberi beberapa kerusi

Walaupun mempunyai keinginan untuk mempunyai kerusi di Sarawak, Bersatu berkata pihaknya tetap menghormati pendirian GPS jika gabungan politik kerajaan negeri itu memutuskan untuk tidak memberi jalan kepada parti yang mesra mereka dari Semenanjung.

“Kami akui kami tak besar. Kami faham pendirian mereka, kami hormat, dan kami ingin pastikan hubungan terus harmoni kerana kita berada dalam kapal yang sama,” kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian, yang juga merupakan ketua Perikatan Nasional (PN) negeri itu, kepada MalaysiaNow.

PN baru-baru ini menyatakan sokongan penuh kepada GPS dan berikrar untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu sekutunya di Sarawak menang dalam pilihan raya negeri akan datang, dan pilihan raya umum.

Perkembangan politik itu adalah susulan lawatan rasmi pertama pengerusi PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Sarawak.

Sebuah lawatan yang dilihat berjaya mempereratkan hubungan antara Putrajaya dan kerajaan negeri walaupun wujud sebahagian pemimpin Umno yang mahu memutuskan hubungan dengan kerajaan persekutuan.

Muhyiddin semasa lawatannya enggan mengulas mengenai isu apakah Bersatu akan bertanding di Sarawak dan berkata perkara tersebut adalah tertakluk kepada persetujuan dari GPS.

GPS, diketuai PBB ditubuhkan selepas parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak keluar dari gabungan besar politik itu, selepas pilihan raya umum 2018.

Parti komponen GPS juga turut mewakili demografi Sarawak.

PBB dilihat mewakili masyarakat Melanau dan Melayu, SUPP mewakili kaum Cina, sementara PDP dan PRS mewakili komuniti peribumi bukan Islam. – MN