“Ditukarkan dari sekolah ini dengan kadar segera” – Ibu bapa protes, dakwa warga sekolah dianiaya Guru Besar

“Ditukarkan dari sekolah ini dengan kadar segera” – Ibu bapa protes, dakwa warga sekolah dianiaya Guru Besar

Seorang wanita bertindak menularkan perilaku Guru Besar sebuah sekolah rendah di Damansara yang didakwa seolah-olah menganiaya pelajar dan juga guru-guru di sekolah tersebut.

Difahamkan, pengadu bertindak demikian kerana kesal tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkaitan walaupun aduan rasmi dibuat mengikut saluran yang disediakan menyebabkan masalah yang sama masih berlaku.

Aduan telah dibuat, tetapi tiada sebarang tindakan

“Apabila laporan melalui saluran rasmi tidak berjaya, bukan ibu bapa tak ikut saluran. Campur tangan PIBG, laporan SiSPAA dan PPD, tapi masih tak jalan.

“Cikgu-cikgu yang mana yang aktif bawa budak untuk pertandingan, dilapor seolah-olah tak penuhi KPI. Anak-anak tak digalakkan menyertai pertandingan, tak dibenarkan buat latihan, tak diberi apa-apa bantuan malah disekat jalan mereka untuk mara.

“Tapi, ibu bapa dan anak-anak tak putus asa. Masuk juga pertandingan sampai ke peringkat akhir. Bila menang, pandai pula ambil kredit,” katanya.

Ibu bapa beri kerjasama penuh tetapi disekat

Menurut pengadu, kebanyakan ibu bapa menyokong dan menghulurkan bantuan apa sahaja yang diperlukan oleh sekolah tanpa bantahan.

“Sekolah ini, apa saja ibu bapa tak buat? Pokok tumbang? Bapa-bapa datang untuk selesaikan. Tandas rosak? Ibu bapa keluar duit untuk baiki. Nak mula sekolah? Parents datang cuci sekolah. Dengan tandas semua parents cuci supaya anak-anak selesa.

“Anak tak mahir membaca? Parents luangkan masa pagi-pagi, duduk dengan anak-anak (yang bukan anak diorang ye) untuk ajar sampai pandai,” katanya.

Tambahnya lagi, Guru Besar sebelum ini memang sangat komited dan disayangi.

“Guru Besar sebelum ini sangat baik dan disayangi. Tetapi bila Guru Besar baru masuk, timbul banyak masalah sehinggakan ada pelajar yang tak mahu pergi sekolah.

“Masuk pertandingan pun tanpa sokongan. Siap kena marah lagi. Cikgu-cikgu yang disayangi, tangan macam kena ikat. Tak boleh itu, tak boleh ini. Penglibatan ibu bapa disekat. Dan akhirnya, laporan demi laporan dibuat melalui saluran betul.

“PPD pula? Buang kes sebab katanya laporan tak berasas. Cikgu-cikgu yang baik? Mereka didenda, turunkan KPI, ditanda dan dicari salah. Pun macam tu, parents masih guna saluran yang sepatutnya,” katanya.

Naik kain rentang, gesa KPM ambil tindakan segera

Kesal dan kecewa tiada sebarang tindakan daripada pihak berkenaan, ada segelintir ibu bapa bertindak menaikkan kain rentang di beberapa lokasi.

Menerusi kain rentang tersebut, ibu bapa menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menukarkan Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah berkenaan dengan kadar segera.

Meskipun begitu, pengadu berpandangan menukarkan dua guru terbabit tidak akan menyelesaikan masalah..

“Kemuncaknya, ibu bapa naikkan kain rentang dekat beberapa tempat dalam kawasan ni. Terbaru, barulah PPD, JPN & KPM katanya turun untuk berjumpa Guru Besar. Tapi, ibu bapa tetap tak dibenarkan beri keterangan sebelah kami pula.

“Persoalannya sekarang guru-guru bermasalah ni bukannya sikit. Tapi, bila adanya laporan, paling tidak, dipindahkan sekolah. Masalahnya, dia pindah sekolah, buat masalah dekat sekolah baru pula. Tapi, manakan nak dapat pembaharuan sedangkan yang bermasalah masih kekal dalam sistem?

“Takkan ibu bapa hanya perlu bergantung dengan kuasa viral semata-mata baru nak ada tindakan,” katanya.