Dia dah kena tahan
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek dalam kes cabul melibatkan seorang pekerja wanita.
Suspek berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat dan direman empat hari hingga 10 Oktober.
Katanya, hasil saringan air kencing terhadap suspek yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tujuh tahun itu didapati negatif dadah.
“Polis turut merampas kelengkapan uniform yang dipercayai dipakai semasa kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki memakai pakaian seragam tentera bertindak melampau mencabul seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat, Ampang, dengan menjilat tangan wanita berkenaan.
Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape, sebelum dia keluar selepas melakukan urusan itu.
Dalam kenyataannya semalam Farouk berkata, suspek masuk semula ke kedai dan memberitahu “pod” vape dibelinya tidak berfungsi, mangsa kemudian memeriksanya dan menggantikan dengan yang baharu.
“Mangsa menyerahkan ‘pod’ vape terbabit dan ketika itu suspek mengambil kesempatan memegang tangan serta turut menjilat tangan mangsa.
“Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Sumber – FMT