“Dia raba saya atas, bawah sebanyak 3 kali” – Elly Arifin dedah dicabul ustaz
Pelakon dan pengacara Elly Arifin mendedahkan pengalaman pernah dicabul seorang pengamal perubatan sekitar dua tahun lalu.
Menurut Elly atau nama sebenarnya, Nurul Elyana Kamalul Arifin, 35, kejadian tersebut berlaku ketika dia ke kediaman individu berkenaan seorang diri untuk mengambil air penawar.
“Saya diminta ibu untuk berubat pulihkan semangat. Saya pakai baju sweater dan seluar yang besar, tiada yang ketat pun. Masa berubat, dia kelihatan membacakan sesuatu dan minta saya minum.
“Selepas minum saya berada dalam keadaan separa sedar. Tiba-tiba saya terasa tangannya masuk ke dalam baju dan mencabul saya tiga kali atas dan bawah.
“Saya merasa pelik sebab saya pernah melihat dia mengubati orang lain namun tidak seperti apa yang saya alami,” katanya.
Cerita Elly, selepas sedar, dia cuba menolak perbuatan individu tersebut sebelum diminta minum sekali lagi air penawar itu.
“Kali kedua saya hanya letak di mulut tetapi tidak minum. Muka dia berubah seperti panik dan selepas saya minta diri untuk pulang, dia pesan sebanyak tiga kali supaya merahsiakan perkara tersebut.
“Apabila saya tanya kenapa, dia kata bukan semua orang boleh menerima cara rawatannya,” kongsinya.
Selepas tiga hari kejadian, Elly membuat laporan di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur. Individu itu kemudian didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah.
Disebabkan kejadian itu, Elly mengalami trauma berpanjangan.
“Saya simpan dendam sampai sekarang, kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi kejadian tersebut.
“Orang ingat cabul itu perkara ringan, jujur selepas kejadian tersebut, saya balik rumah menangis dan ada waktu ketika tidur rasa seolah-olah ada orang mencabul.
“Masa itu baru saya tahu rasa trauma, bahkan jika abang saya terpegang bahu, saya akan bertindak balas,” katanya.
Selepas kejadian yang menimpanya, Elly terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengambil berat tentang isu cabul.
“Bukan sewenangnya kita hendak bagi badan kita orang lain sentuh terutama oleh individu yang dipercayai keluarga. Jadi, saya memberanikan diri berkongsi tentang kejadian ini untuk beri kesedaran pada umum,” ujarnya.
Elly berkongsi mengenai episod hitam itu selepas majlis pelancaran filem Karsakoff lakonannya bersama Iqram Dinzly, Azhan Rani, Erra Fazira dan Ning Baizura.