“Dia selalu tinggalkan..” – Puteri Sarah dedah diganggu Mastura sejak bulan Ogos
Pelakon Puteri Sarah Liyana mendedahkan dia kerap diganggu seorang wanita dikenali sebagai Mastura di media sosial miliknya.
Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berkata, dia menyedari kemunculan wanita misteri itu sejak Ogos lalu apabila dia kerap meninggalkan komen kurang senang terhadap dirinya.
“Ya, dekat saya punya Instagram, dekat setiap saya punya perkongsian mesti ada. Akaun palsu nama dia Mastura. Dalam perkongsian terbaharu saya pun ada.
“Saya tak tahu dia siapa tapi dia ada di setiap perkongsian Instagram saya. Dia selalu tinggalkan komen berbentuk provokasi,” katanya kepada mStar.
Sarah dedah dirinya diganggu wanita bernama Mastura.
Puteri Sarah berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui selepas pementasan teater Pak Pandir bersama Labu Labi Ajaib yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, pengikutnya turut bertindak sebagai perisik bagi menyiasat lebih mendalam berhubung pemilik sebenar akaun palsu tersebut.
Puteri Sarah bagaimanapun tidak menolak sekiranya individu tersebut adalah orang terdekat kerana dia berani menyentuh hal peribadi dan keluarga.
“Kalau orang luar dia tak akan sentuh hal peribadi kita. Ini mungkin orang yang kenal kita. Dia kata dah baca saman saya yang dulu… Dia kata saya tak move on.
“Tapi saya nasib baik ada netizen yang bantu sebab mereka pun nampak sejak bulan Ogos dia asyik hendak menghina saya, buat provokasi.
“Buat masa sekarang maklumat penuh belum tahu lagi tapi sudah dapat alamat IP (Internet Protocol) dan lokasi sahaja… Daripada situ saya sudah boleh agak sebab lokasinya di Lembah Klang,” kongsinya.
Sarah terharu ada netizen sudi membantunya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui dia memang terkesan dengan setiap komen negatif ditinggalkan wanita tersebut.
Namun lama kelamaan ia menjadi sesuatu yang kelakar apabila wanita tersebut diserang netizen yang tidak berpuas hati melihat dia sering menganggunya.
“Mula-mula rasa sakit hati juga tapi saya rasa dia macam tak betul dan gunakan saya sebagai tempat lepaskan geram pada siapa pun tak tahu.
“Saya rasa dia menghiburkan sebab setiap kali komen ia kelakar dan tak masuk akal. Jadi netizen pun serang dia balik,” katanya.