Diasak Sinar Harian soalan ‘Di manakah Akauntan Bertauliah Bumiputera?’, bekas CEO ini perincikan jawapan yg diminta

Diasak Sinar Harian soalan ‘Di manakah Akauntan Bertauliah Bumiputera?’, bekas CEO ini perincikan jawapan yg diminta

Cabaran untuk menjadi akauntan bertauliah

1. Bukan semua orang berminat untuk menjadi akauntan bertauliah. Saya pernah kehilangan seorang pekerja yang cemerlang kerana dia terpaksa memenuhi kehendak ibunya untuk menjadi guru supaya boleh berada dekat dengan ibu.

2. Pada pandangan saya, perakaunan sekarang adalah kompleks dan memerlukan orang yang mempunyai kemampuan yang tinggi serta minat yang berkobar-kobar. Perakaunan memerlukan pelajar memahami konsep dan mengaplikasinya. Jika di peringkat SPM hanya cemerlang kerana latihan tubi atau hebat dalam seni menjawab soalan, belum tentu A yang bersusun membolehkan pemegangnya melepasi program perakaunan profesional.

3. Walaupun sudah ramai akauntan profesional di kalangan Bumiputera, kesedaran berkenaan pembinaan kerjaya di dalam bidang ini masih berkurangan.

4. Terpesona dengan status pendaftaran “Chartered Accountant” oleh MIA walaupun ianya bukan kelayakan profesional seperti yang dianugerahkan oleh badan-badan perakaunan profesional lain selepas memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti menduduki peperiksaan profesional yang dijalankan oleh badan-badan berkenaan.

5. Kos program yang tinggi untuk dibayar sendiri. Walaupun saya membayar sendiri kos untuk mengambil program perakaunan profesional, kosnya sekarang agak mahal. Ini menyebabkan orang-orang yang berminat bergantung kepada tajaan majikan atau pun biasiswa dari badan-badan penaja. Firma-firma perakaunan yang kecil atau pun SME amat kurang menaja pekerja mereka kerana kekangan belanjawan atau pun pemilik mereka (walaupun seorang yang menggelar dirinya akauntan) tidak nampak nilai kelayakan perakaunan profesional ini.

Walaupun cabaran-cabaran di atas dirasai oleh keseluruhan ahli masyarakat, ada juga satu kumpulan masyarakat yang memang memberi tumpuan agar anak-anak mereka menjadi akauntan bertauliah. Selepas SPM mereka menghantar anak-anak mereka ke kolej yang menawarkan kursus-kursus CAT (ACCA) atau pun CFAB (ICAEW). Jika mereka lulus dengan cemerlang, mereka akan mengambil program profesional. Bagi CAT dan ACCA, ada pelajar yang lulus dalam masa 3 tahun selepas SPM. Inilah jawapannya mengapa dari 22,000 akauntan profesional yang mendaftar dengan MIA hanya dalam 2,000 sahaja Bumiputera.

Adakah kaedah ini tak ada risiko. Risikonya ada. Jika pelajar kurang mampu atau pun tidak memberi komitmen, dia mungkin tak lepas. Ada juga kadang-kadang institusi tempat dia belajar tidak menggunakan pendekatan yang bersesuaian yang menyebabkan ada pelajar yang gagal. Ini samalah dengan mengambil kursus diploma atau pun ijazah. Tak semua lepas. Kalau lepas dengan CGPA 2.0 pun, susah nak cari majikan yang nak tawarkan pekerjaan.

Ada juga ahli akademik yang tidak menggalakkan graduan mereka untuk memgambil peperiksaan profesional. Cukuplah dengan CA(M), kata mereka. Golongan ini menganggap orang-orang macam saya yang mempromosi perakaunan profesional sebagai orang yang tidak setia kepada negara dan mempromosi kelayakan yang ditawarkan oleh penjajah. Memang ada usaha bagi MIA untuk mewujudkan peperiksaan profesionalnya sendiri tetapi golongan ini nak supaya orang yang dah ada kelayakan profesional lain pun diperiksa kembali.

Di dalam kaedah kawalselia yang diamalkan oleh World Trade Organisation (WTO) ada konsep “equilvalancy” atau kesamaan. Mungkin kalau nak dikenakan peperiksaan, matapelajaran pencukaian dan undang-undang syarikat ada asasnya, bukannya semua matapelajaran. Kalau di Australia, perkara ini dikehendaki jika mahu menwarkan perkhidmatan awam sahaja, bukan untuk semua akauntan kerana terserahlah kepada majikan masing-masing untuk menilai.

Malaysia juga ada badan perakaunan profesionalnya sendiri iaitu Malaysian Insitut of Certified Public Accountants (MICPA). Institut ini ditubuhkan pada tahun 1958, setahun selepas Malaya merdeka. Yang peliknya, orang-orang akademik yang tak suka kelayakan penjajah ini tak pula menggalakkan anak-anak murid mereka mengambil peperiksaan MICPA. Jika tidak, tentunya sudah bersusun anak-anak kita yang dah jadi ahli MICPA.

Saya boleh menerima hakikat tidak semua orang mahu menjadi akauntan bertauliah yang ada kelayakan profesional. Yang saya pelik ialah desakan-desakan supaya status quo dikekalkan dengan menggelar semua orang Charted Accountant walaupun saya yakin di dalam jantunghati semua orang, mereka tahu hakikat yang sebenar. Ini hanyalah status pendaftaran. Bukankah untuk kita lebih hebat dan terkehadapan, kita kena memberi semangat kepada anak-anak kita untuk mencapai kelayakan yang tertinggi supaya mereka bukan sahaja mempunyai peluang untuk membina kerjaya tetapi boleh menjadi pembuat keputusan yang berpengaruj? Bukankah itu kaedahnya untuk menguasai ekonomi?

Inilah sebabnya saya tak boleh jadi ahli politik kerana yang putih saya katakan putih dan yang hitam saya katakan hitam 🤗

Sumber – FB Nik Hasyudeen