Didakwa lafaz cerai tiga kali tanpa sebab, Cat Faris sahkan dah berpisah dengan isteri
Sebelum ini, penyanyi dan pelakon Cat Farish didakwa melafazkan cerai terhadap isterinya, Suriani Hassan, 36, sebanyak tiga kali tanpa sebab pada 13 Disember lalu.
Terbaru, menurut laporan Xtra, Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli mengesahkan dia dan isteri sudah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Penyanyi berusia 48 tahun itu menjawab pertanyaan seorang pengikut berhubung perbicaraan kes perceraiannya yang berlangsung di mahkamah pada 16 Januari lalu.
Rujuk balik atau berpisah?
“Kami pilih untuk jalan haluan masing-masing,” balas Cat di ruangan komen pada sebuah posting dimuat naik baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, pelakon filem Jangan Pandang Belakang Congkak itu tidak berkongsi secara terperinci mengenai perpisahan tersebut.
Terdahulu, Suriani membuat pendaftaran pengesahan cerai di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Disember lalu bagi menentukan jumlah talak yang dilafazkan Cat.
“Sebelum ini, saya cuba menghubungi Cat sebanyak tiga kali bagi menyelesaikan perkara ini, tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Jadi, saya anggap dia memang berniat untuk ceraikan saya dan berharap kes ini akan selesai segera,” kata wanita berusia 37 tahun itu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 November 2020 namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Cat juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 14, Eva Latheefa, 12, dan Qul Iskandar, 11.