Didenda langgar SOP, netizen cadang presiden Brazil jadi ‘instafamous’ di Malaysia
Presiden Brazil Jair Bolsonaro dikenakan denda kerana tidak mematuhi peraturan keselamatan kesihatan negara ketika majlis umum semasa kerajaan negara itu berusaha membendung penularan pandemik Covid-19, kata gabenor negeri Maranhao.
“Pihak berkuasa kesihatan memfailkan kes terhadap Bolsonaro bagi kesalahan mengadakan perhimpunan di Maranhao tanpa perlindungan kebersihan. Undang-undang ini terpakai untuk semua orang,” kata gabenor negeri timur laut berhaluan kiri, Flavio Dino di Twitter pada Jumaat.
Dino mengingatkan orang ramai bahawa perhimpunan lebih 100 orang dilarang di negara itu dan penggunaan pelitup muka adalah wajib.
Pejabat Bolsonaro mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan sebelum jumlah denda ditetapkan. Ia tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Pada Jumaat, Bolsonaro menyerahkan pemilikan hartanah luar bandar di Acailandia, kira-kira 500km dari Sao Luis, ibu kota Maranhao.
Pada acara itu, Bolsonaro, yang tidak memakai pelitup muka, digelar oleh Gabenor Dino sebagai “diktator gemuk”.
Presiden Brazil itu menentang peraturan berkurung Covid-19 dan telah menyerang dan menggelar gabenor negeri yang mengenakan sekatan kesihatan tempatan sebagai “diktator”.
Brazil mempunyai angka kematian Covid-19 kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.
Kes pertama varian India Covid-19 di Brazil disahkan pada hari Khamis di Maranhao – salah satu negeri termiskin di negara ini – membabitkan enam anak kapal kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong. – FMT