Dihentam gara-gara adakan pertemuan dengan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, ini penjelasan daripada Dr. Puad Zarkashi

Dihentam gara-gara adakan pertemuan dengan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, ini penjelasan daripada Dr. Puad Zarkashi

Hantaran FB dimuat naik ADUN Rengit, Datuk Dr Puad Zarkashi semalam menjadi panas selepas gambarnya bersama pasangan pelakon terkenal Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menjadi tumpuan kecaman penyokong beliau.

Pertemuan yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya itu sebagai memenuhi hasrat Aeril yang merupakan anak jati Kg Sg Kluang Darat Rengit bagi membina masjid baru di kampung kelahirannya itu.

Namun penyokong speaker DUN Johor itu menganggap pertemuan tersebut sebagai satu usaha melobi oleh pasangan artis tersebut, sementelah diketahui kedua-duanya terlibat aktif mempromosikan Perikatan Nasional semasa kempen PRU-15 baru-baru ini.

Bagi mengelak keadaan menjadi lebih panas, Puad kemudiannya tampil dengan kenyataan menerangkan tujuan sebenar pertemuan mereka semalam.

JAWAPAN SAYA PADA KECAMAN

Saya agak terkejut kerana ada netizen kecam saya minum petang dengan Aeril Zafrel dan isterinya Wawa.

Ini saya kena jawab. Saya ADUN Rengit. Aeril jumpa saya kerana mereka mahu membina masjid baru di kampung kelahiran Aeril.

Ini bukan perkara baru. Ia sudah dirancang sebelum saya menang di DUN Rengit tahun lepas. Peguam Aeril sudah berjumpa dengan AJK Masjid beberapa kali. Orang kampung memang mengharap dapat masjid baru.

Aeril mahu berjasa dengan orang kampungnya. Ia hasil titik peluhnya sendiri. Lagi pun orang lain juga akan dapat manfaatnya.

Saya ketepikan sentimen politik dalam isu amal jariah apatah lagi untuk membina masjid baru.

Kalau ia pun Aeril penyokong PN tetapi dia lebih tahu menghormati orang lain. Dia tahu saya ADUN BN, tetapi dia jumpa saya untuk memudahkan urusan membina masjid tersebut.

Membuna masjid melibatkan isu birokrasi dan peraturan. Apatah lagi ia melibatkan jutaan ringgit. Sebab itu Aeril mahu kerjasama saya.

Saya harap rakyat Malaysia lebih terbuka dalam isu amal jariah. Jangan campur aduk dengan sentimen politik. Sama juga bila Kerajaan pusat membantu mangsa banjir di negeri pembangkang khususnya Kelantan, Kedah dan Trengganu.

Sekali lagi terima kasih kepada Aeril dan Wawa. Allah jua yang akan membalas budi baik mereka berdua.

Sementara itu, Aeril juga dilihat meninggalkan komen pedas menjawab tohmahan mengatakan dia cuba melobi projek daripada Puad.

Perkongsian tersebut sehingga kini mencatat reaksi tanda suka sebanyak hampir 2 ribu dan 600 komen pembaca.