Dikompaun adakan sidang media, MUDA pertikai amalan pilih bulu pihak polis
MUDA dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang media berhubung pilihan raya negeri (PRN) Melaka di Bandar Hilir, Melaka, sebentar tadi.
Setiausaha Agung Penajanya Amira Aisya Abd Aziz, yang mempersoalkan tindakan kompaun itu menegaskan pihaknya sudah mendapat kebenaran polis semalam selepas salah seorang anggota parti membuat panggilan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri berkenaan
Katanya, antara syarat dikenakan oleh polis adalah tidak boleh dihadiri ramai orang selain semua peserta sidang media perlu menjaga jarak dan memakai pelitup muka, lapot portal FMT.
“Jadi pada hari ini sebelum sidang media itu berlangsung juga, kami berjumpa dengan penguatkuasa dan kami diberitahu perkara sama kalau lima orang tak mengapa asalkan penjarakan dijaga dan sewaktu sidang media berlangsung kami pastikan segala SOP ini dituruti.
“Tetapi selepas sidang media berakhir, salah seorang rakan kami telah ditarik ke IPD dan telah dikompaun, kompaun yang dikenakan bukan jumlah yang sedikit tetapi RM4,000,” katanya dalam satu video dimuat naik menerusi akaun Twitternya.
Amira menegaskan, tindakan pihak berkuasa jelas memperlihatkan sistem dua darjat sedang berlaku apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini dibenarkan mengadakan ceramah secara besar-besaran dengan kehadiran ramai orang dalam sebuah dewan tanpa dikenakan sebarang tindakan.
“Kami bukan nak marah kepada penguatkuasa tetapi kami ingin persoalkan apakah sistem dua darjat yang sudah terjadi pada hari ini.
“Apabila Datuk Seri Najib turun buat ceramah besar-besaran punya ramai orang dalam dewan, punya ramai orang bersesak menyanyi lagu Gemuruh Jiwa dan sebagainya. Adakah beliau dikenakan kompaun? Adakah BN dikenakan kompaun apabila mereka tidak tepati SOP yang telah ditetapkan,” soalnya.
“Kenapa orang MUDA lima orang turun ke sidang media yang dijalankan di tempat awam dikenakan kompaun RM4,000. Budaya dua darjat inilah yang kami ingin lawan,” katanya.
Terdahulu, Presiden Penaja MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu akan bertanding pada PRN Melaka, 20 Nov ini.
Katanya, MUDA sedang berunding bersama Pakatan Harapan (PH) untuk pengagihan kerusi.
“Rundingan masih berjalan dan kita akan umumkan (jumlah kerusi) yang akan kita tandingi nanti,” kata Ahli Parlimen Muar itu