Dilanggar pemandu mabuk, bayi setahun 5 bulan; kakak parah
Seorang kanak-kanak perempuan dan seorang bayi cedera parah selepas kereta dinaiki dirempuh pacuan empat roda dipandu seorang pemuda mabuk di Kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing di sini pada Sabtu.
Memetik Sinar Harian, kemalangan pada jam 8 malam itu mengakibatkan Nur Aisyah Humaira, 6, cedera parah di kepala selain mengalami pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang.
Bayi berkenaan pula yang juga adiknya, Nur Hana Humaira, berusia setahun lima bulan parah di kepala, mengalami pendarahan otak selain cedera di tulang pinggul.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dua beradik itu masih menerima rawatan di zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini manakala bapanya yang juga pemandu dan ibu mereka cedera serta mendapat rawatan di zon kuning hospital sama.
“Kemalangan itu melibatkan pacuan empat roda Nissan Navara dan kereta Toyota Vios dinaiki keluarga berkenaan yang datang dari arah sama iaitu arah Kluang menghala ke Mersing.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan suspek melanggar belakang kereta Toyota Vios sehingga menyebabkan kereta itu yang dipandu lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta termasuk isterinya berusia 37 tahun yang beralamat di Felda Kahang Timur mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HEBHK,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu rakaman video kejadian berkenaan yang berjaya dirakam orang awam sebelum tular dalam media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu.
Bahrain berkata, susulan itu pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan pemandu pacuan empat roda berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun.
“Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian tersebut dan sampel darahnya sudah diambil di HEBHK untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan toksikologi,” katanya.
Katanya, saringan ujian air kencing dijalankan ke atas suspek tetapi negatif dan polis akan dibuat permohonan reman di mahkamah pada Ahad.
Suspek katanya, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.