Dipenjara 3 bulan gara-gara berbogel, ugut rogol dan bunuh

Dipenjara 3 bulan gara-gara berbogel, ugut rogol dan bunuh

Seorang buruh binaan menerima hukuman di atas perlakuannya melakukan ugutan untuk membunuh dan berbogel di hadapan rumah seorang wanita yang juga jirannya Nov lalu.

Menurut laporan akhbar FMT, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu ke atas A Anbalagan, 38, selepas dia mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah.

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mengugut, manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan berbogel dan kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Nov 2021.

Anbalagan didakwa mengugut untuk membunuh wanita berumur 36 tahun itu dengan niat mendatangkan kecederaan di hadapan rumah mangsa di Batu Arang, Gombak di sini, pada 8.40 malam 2 Nov lalu.

Menurut laporan Bernama, pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam di lokasi sama pada 7 pagi 3 Nov lalu dan dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Peguam M Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian anak guamnya mabuk dan tidak ingat apa yang berlaku serta memohon maaf atas kesilapan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah jirannya.