Dipercayai angkara cemburu, suami tikam isteri hingga mati

Dipercayai angkara cemburu, suami tikam isteri hingga mati

 

Cemburu dipercayai punca seorang lelaki menikam hingga mati isterinya dalam kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa bekerja sebagai pembantu kedai makanan berusia 38 tahun parah ditikam dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) dan disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh orang awam sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dikatakan membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.

Katanya, suspek bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans namun disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kalsom berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan, jam 8.30 malam tadi.

“Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.

“Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika kejadian oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek warga asing direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.