Disangka terjatuh, rupa-rupanya angkara suami durjana

Disangka terjatuh, rupa-rupanya angkara suami durjana

Wanita yang disangka terjatuh dari tingkat 18 kondominium di Jalan Bukit Kukus, di sini, semalam rupanya maut angkara suami sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, hasil soal siasat ke atas suspek mendapati dia mengaku menolak isterinya keluar menerusi tingkap di ruang tamu rumah selepas berlaku pergaduhan di antara mereka.

Jelasnya, punca pergaduhan disebabkan suspek curiga isterinya telah menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Suspek yang bekerja sebagai tukang masak berusia 34 tahun itu kini ditahan.

Katanya, suspek dan mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans itu telah berkahwin lebih setahun dan tinggal berdua di rumah tersebut.

Jelas Soffian, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol atau THC.

Polis merampas dua telefon bimbit, satu botol mengandungi ketulan kristal, dan satu plastik lut sinar mengandungi daun kering dipercayai dadah yang digunakan suspek.

Suspek ditahan reman selama enam hari hingga 15 April untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemui terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga bagi menurunkan mangsa.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia setelah mengalami pelbagai kecederaan disebabkan terjatuh dari tempat tinggi. – AA