Diterima semula sertai UMNO, Zahid maafkan Lokman
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dibuang, Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan MKT kerana menerimanya semula sebagai ahli parti.
Dalam kenyataan ringkas menerusi hantaran Facebook UMNO pagi ini, Lokman Adam mengucapkan syukur dan mendapat tahu berita itu selepas dihubungi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslam malam tadi.
“Alhamdulillah, saya telah dihubungi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO tadi, memaklumkan MT UMNO yang bersidang pada malam ini telah memutuskan untuk menerima saya semula sebagai ahli UMNO.
Terima kasih Presiden dan barisan MT UMNO. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik bagi memastikan kemenangan UMNO dalam PRU-15.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada saya selama ini,” katanya.
Pada 7 Februari tahun lalu, MT UMNO memutuskan memecat Lokman selepas mendedahkan rakaman suara Presiden UMNO dalam satu mesyuarat tertutup.
Sebelum itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah ketika itu pernah menegur dan berkata, tindakan ahli MT itu mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah salah dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, menghebahkan perkara yang diperkatakan oleh Presiden UMNO dalam mesyuarat tertutup seolah-olah cuba memanipulasi pelbagai isu dan situasi yang boleh mencetuskan kebimbangan ahli di peringkat akar umbi.
Sumber – MalaysiaGazette