Dituduh berbohong, Ka Siong pertahan kenyataan awal ttg status juruterbang helikopter trhempas

Dituduh berbohong, Ka Siong pertahan kenyataan awal ttg status juruterbang helikopter trhempas

Juruterbang helikopter jenis Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor tengah hari semalam ditemui masih bernyawa awal pagi tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, berdasarkan laporan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mangsa ditemui selamat pada pukul 8.18 pagi oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Ka Siong, rentetan itu pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pencarian di darat.

“Pihak polis tiba di tempat kejadian pada pukul 10.30 pagi dan mereka cuba menyelamatkan dengan pasukan penyelamat yang lain untuk membawa keluar mangsa tersebut.

“Ketika mangsa dijumpai, dia masih lagi hidup, tetapi dalam keadaan cedera parah dan tindakan diambil pasukan penyelamat pada waktu itu adalah mengeluarkannya dan hantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya yang dilaporkan Kosmo.

Tambahnya, mangsa tidak sedarkan diri semasa dalam perjalanan menaiki helikopter TUDM dan apabila sampai di hospital, mangsa telah meninggal dunia.

“Kita masih menunggu hospital sahkan punca kematian dan waktu kematian dan saya bagi pihak Kementerian Pengangkutan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan, pihaknya akan mengarahkan satu laporan lengkap selepas CAAM memuktamadkan semua kerja-kerja SAR.