Dituduh bongkak gara-gara tolak bayaran RM500 sehari, ini jawapan Azlee Senario

Dituduh bongkak gara-gara tolak bayaran RM500 sehari, ini jawapan Azlee Senario

 

Pelakon dan pelawak, Azlee Senario, enggan mengambil pusing mengenai kata-kata kurang manis yang dilemparkan kepada dirinya susulan kenyataannya mengenai bayaran murah yang diterima baru-baru ini viral di media sosial.

Mohd Azlee bin Jaafar, 57 tahun, berkata, individu yang mengkritik dirinya itu sama sekali tidak mengerti tentang sebalik tabir dunia hiburan, apatah lagi kadar bayaran semasa untuk para pelakon serta penggiat seni yang aktif di Malaysia, lapor Astro Gempak.

“Yang komen itu bukan pelakon. Mereka tidak tahu kadar bayaran pelakon, pengacara… mereka tidak tahu. Jadi, mereka main bantai sahaja.

“Tapi lantaklah, mereka mempunyai hak untuk bersuara. Namun, kita sebagai artis perlu memperjuangkan hak anak seni. Kita tak kacau orang pun. Kita bersuara atas dasar hak. Jadi nilai-nilaikan,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Azlee berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang individu di platform X, yang mempertikaikan kenyataan Azlee terhadap bayaran RM500 sehari yang diberikan kepadanya baru-baru ini.

Individu tersebut juga mendakwa Azlee tidak bersyukur, selain kumpulan lawak Senario yang dikatakan sudah ‘terkubur’.

Senario Masih Aktif

Melanjutkan bicara mengenai status kumpulan yang melonjakkan namanya, Azlee berkata, Senario masih aktif.

“Eh, kami masih aktif. Kami sekarang tengah ligat. Sebenarnya, dia tidak nampak Senario bergerak secara berkumpulan. Kami ini berenam, dan penganjur kadang-kala tidak mampu bayar keenam-enam anggota.

“Jadi, ada penganjur yang hanya minta tiga orang, ada juga dua orang dan kadang-kadang seorang sahaja. Sebab itu orang tidak nampak,” katanya lagi.

Sungguhpun dikecam oleh seorang individu, ramai dalam kalangan netizen memberi sokongan dan membela Azlee di platform berkenaan.

Sitkom

Selain itu, Azlee turut berasa terharu kerana peminat masih banyak yang ingin melihat dia dan Senario bergabung dan kembali memeriahkan industri hiburan menerusi penerbitan sitkom.

“Peminat Senario ramai. Ramai dalam kalangan mereka yang menghantar mesej kepada saya dan beritahu jangan layan perkara yang toksik. Mereka nasihatkan saya supaya teruskan kerja dan mahu lihat Senario kembali aktif menerusi sitkom.

“Kami boleh sahaja berlakon sitkom, tapi bergantung kepada pihak stesen televisyen sama ada mereka berminat untuk terbitkan atau tidak,” katanya.