DNB-5G : Timbalan Menteri KKOM kesal diperlakukan seperti tunggul oleh Annuar

DNB-5G : Timbalan Menteri KKOM kesal diperlakukan seperti tunggul oleh Annuar

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin melahirkan rasa kesal kerana tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan Projek Rangkaian Mudah Alih Generasi ke-5 (5G) dan syarikat pengendalinya, Digital Nasional Berhad (DNB).

Memetik laporan portal MalaysiaGazette, walaupun beliau pernah membangkitkan soal kredibiliti pengurusan DNB dan perbelanjaan Projek 5G Kebangsaan di Parlimen sebelum ini namun usaha untuk merungkai peningkatan kos projek itu yang kini mencecah RM30 bilion masih menemui jalan buntu.

“Setakat hari ini, ada satu taklimat yang panggil saya, lepas itu tak bagi tahu, (walaupun) saya bangkit perkara ini dalam Parlimen, tapi (tetap) tidak maklum pada saya.

“Dalam mesyuarat pun, tiada siapa maklum tentang isu yang saya bangkitkan seperti soal monopoli, soal perbelanjaan, perkembangan berapa tahun nak buat, siapa yang terlibat, telco mana yang tidak tandatangan, semua tidak dimaklumkan.

“Malah mesyuarat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) pun tak dimaklumkan kepada saya tentang DNB dan 5G ini.

“Saya tak tahulah kalau terlibat mungkin menteri tak maklum kepada saya, saya rasa terlibat (mesyuarat) dalam mesyuarat Kabinet tapi menteri tak maklum,” katanya pada sidang media di Wisma TV RTM, Angkasapuri hari ini.

Terdahulu beliau menerima memorandum daripada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin yang mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengurusan serta isu monopoli dalam pembangunan Projek 5G Kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, Zahidi turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kewangan yang dikatakan masih mengawal selia DNB sedangkan K-KOMM dipertanggungjawabkan untuk membangun dan menguatkuasakan rangkaian telekomunikasi di negara ini.

“K-KOMM adalah satu kementerian yang ditubuhkan oleh Parlimen untuk pembangunan dan penguatkuasaan komunikasi, sama ada 5G, 4G, 3G dan semua connectivity di bawah tanggungjawab K-KOMM.

“Sekarang ini di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, selepas Pemuda UMNO hantar memorandum, saya akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan Pengerusi DNB.

“Saya juga akan bertanya kepada menteri (Kewangan) dan menteri saya sendiri bagaimana perkembangannya supaya dari segi aktanya diserah kepada rakyat kita ingin membangun dan penguatkuasaan bukan Kementerian Kewangan.

“Kalau masih di situ, cara tak betul, sampai bila-bila 5G tidak akan mendapat faedahnya untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.