Dr Geoffrey menyesal cipta AI, beri amaran teknologi ini berbahaya kepada manusia

Dr Geoffrey menyesal cipta AI, beri amaran teknologi ini berbahaya kepada manusia

 

Bapa Pengasas Kepintaran Buatan (AI), Dr Geoffrey Hinton yang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilapor telah memberi amaran mengenai penggunaan teknologi yang dilihat berbahaya kepada manusia.

Dalam temuramah bersama New York Times, Dr Hinton berkata, dengan kadar peningkatan kemampuan AI yang berlaku sekarang ia mungkin akan melangkaui kemampuan manusia.

Beliau juga mengisytihar amaran tentang keburukan yang boleh berlaku, akibat teknologi yang dibangunkan hasil tangannya sendiri.

AI menurut beliau boleh digunakan untuk tujuan jahat oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Oleh sebab itu Dr Hinton menyesali kerja yang dilakukan oleh beliau dalam pembangunan AI di peringkat awal.

Dr Hinton berkata, dengan penggunaan AI yang meluas – kita hanya akan dibanjiri dengan sesuatu yang palsu secara majoriti. Dalam media sosial, garis pemisah antara apa yang benar dan palsu akan menjadi lebih sukar untuk dibezakan.

Anda mungkin memandang ringan amaran ini sekarang, kerana pada ketika ini kita masih sekurang-kurangnya boleh membezakan apa yang kita lihat dengan sedikit penyelidikan.

Tetapi pada tahap kemajuan Al yang ada sekarang khususnya dalam bab Al penciptaan (generative Al), garis pemisahnya sudah tidak lagi kelihatan.

Dr. Hinton meramalkan akan tiba satu hari kelak foto, video dan teks yang kita lihat di internet, majoritinya adalah ciptaan Al. Untuk memeriksa ketulenannya pun, manusia akan bergantung dengan bantuan enjin carian berkuasa Al.

Sementara itu memetik portal Iluminasi, peratusan peluang pekerjaan di Malaysia yang bakal menjalani automasi akibat pengenalan Al sebagai ‘pekerja’ baru ini sebanyak 22%.

Angka ini diperolehi hasil penyelidikan Goldman Sachs Global Investment Research dalam laporan bulan Mac tahun 2023.

Kemajuan pesat dalam bidang Al, diramalkan akan memberikan penjimatan kepada majikan dalam kos penggajian pekerja.

Dan yang penting mampu meningkatkan produktiviti ke tahap lebih tinggi berbanding terus memerah keringat manusia.

Dalam erti kata lain – 22% tenaga kerja di Malaysia akan dianggap tidak relevan kerana kos kita tinggi dan tahap produktiviti kita rendah, jika dibandingkan Al.

Pada tahap global, dianggarkan 300 juta penjawat pelbagai pekerjaan sepenuh masa bakal berdepan risiko kehilangan kerja digantikan automasi Al, dengan peguam dan petugas perkeranian menjadi antara kumpulan pekerjaan yang dianggap tidak lagi relevan.