Dr Ismail kata Sanusi tak boleh ‘move on’, banyak lagi tanah di Kedah boleh dikomersial

Dr Ismail kata Sanusi tak boleh ‘move on’, banyak lagi tanah di Kedah boleh dikomersial

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco semalam dilihat tidak boleh ‘move on’ mengenai pendapatan negeri.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh menegaskan bahawa 90 peratus tanah di Kedah masih boleh dibangunkan bagi tujuan komersial.

Menurutnya, keluasan tanaman padi MADA hanya kira-kira 10 peratus berbanding keluasan negeri yang boleh dibangunkan bagi mendapat hasil cukai tinggi.

“Beliau (Sanusi) mendakwa Kedah dipaksa jadi miskin sebab berkorban untuk (tanam) padi, inilah pemikiran negatif Menteri Besar Kedah secara berterusan.

“Kawasan tanaman padi MADA hanya 10 peratus dari keluasan Kedah, masih ada 90 peratus lagi tanah yang boleh dibuat perumahan dan industri dengan cukai tanah yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas bekas Exco Kesihatan Kedah itu, kenyataan Sanusi menunjukkan kerajaan negeri ketika ini seperti buntu untuk mencari sumber pendapatan lain.

Pada masa sama katanya, usaha untuk memohon peruntukan RM200 juta dari Kerajaan Persekutuan juga dilihat tidak serius kerana kerajaan negeri tidak bersedia mewartakan kawasan tanaman padi di bawah MADA.

“Kalau serius perlu pewartaan (kawasan tanaman padi) dan (Kerajaan Negeri) boleh usahakan untuk mendapatkan pampasan kredit karbon.

“Jadi, Kerajaan Persekutuan juga akan nampak keseriusan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan hasil padi demi keterjaminan makanan negara,” katanya.

Semalam, Sanusi memohon memohon ganti rugi RM200 juta setahun dari Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri berikutan kehilangan pendapatan demi mengekalkan tanah sawah bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Kata Sanusi, permohonan ganti rugi itu dianggap munasabah kerana permintaan membangunkan tanah sawah bagi tujuan perumahan, industri dan komersial meningkat setiap tahun.