Dua kejadian imam diserang ketika solat curi tumpuan ramai

Dua kejadian imam diserang ketika solat curi tumpuan ramai

Masyarakat Islam dunia dikejutkan dengan satu kisah tular seorang imam ‘diserang’ seekor kucing ketika mengimamkan solat terawih di sebuah masjid.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah masjid di Bordj Bou Arreridj, Algeria ketika imam, Walid Mehsas sedang membacakan surah al-Fatihah.

Kucing itu pada mulanya, muncul di bahagian kanan iman berkenaan sebelum mengiau sebelum memanjat jubah Walid, seolah-olah bagi memberitahu tentang kehadirannya.

Kejadian tersebut berjaya mencuit sebahagian besar pengguna media sosial, malah kejadian tersebut menjadi ‘trending’ di media sosial selepas dikongsi wargamaya yang menganggap tindak balas imam terhadap kucing tersebut wajar menjadi contoh.

Namun, berbeza pula nasibnya yang menimpa seorang imam lain baru-baru ini.

Kejadian yang tular menerusi sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan seorang imam diserang seorang lelaki ketika menunaikan solat secara berjemaah.

Menerusi rakaman video, kelihatan lelaki berada di saf ketiga yang kemudiannya secara tiba-tiba meluru ke hadapan dan menikam imam terbabit dengan pisau sebanyak dua kali.

Difahamkan, ia berlaku sewaktu para jemaah menunaikan solat Subuh dalam sebuah masjid di New Jersey, Amerika Syarikat pada 9 April lalu.

Sejurus menikam mangsa dengan laju, suspek tersebut cuba melarikan diri dari orang ramai ke pintu belakang tetapi berjaya disekat oleh jemaah yang menahannya.

Memetik laporan CNN, mangsa, Sayed Elnakib ditikam sekitar jam 5.30 pagi di Masjid Omar semasa jemaah sedang sujud ketika solat.

Sebelum ini, suspek dikenal pasti sebagai Serif Zorba, 32, bukan ahli kariah masjid tetapi pernah bersolat di situ sebelum ini.

Suspek difahamkan merupakan penduduk tempatan dan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh dan memilik senjata yang menyalahi undang-undang.

Suspek bukan ahli kariah masjid tetapi pernah bersolat di situ sebelum ini.
Sementara itu, imam tersebut telah mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.