Dua lelaki ditahan gara-gara ugut PM dan Timbalan KPN di Facebook

Dua lelaki ditahan gara-gara ugut PM dan Timbalan KPN di Facebook

 

Dua lelaki tempatan ditahan semalam disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain berkata suspek pertama yang dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Nekad Hikers Ventures’, berusia 51 tahun ditahan Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Suspek kedua dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Jgad Zruu’ berumur 27 tahun ditangkap Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Polis turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya.