Dua pelajar siswazah USIM korban keganasan rejim Israel di Gaza

Dua pelajar siswazah USIM korban keganasan rejim Israel di Gaza

Dua pelajar siswazah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara mangsa yang terkorban dalam serangan udara Israel yang berlaku di Gaza, Palestin semalam.

Pemergian Mohammed J. H. Alzaanin dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen dimaklumkan universiti berkenaan dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi hari ini.

Difahamkan, lebih 20 orang ahli keluarga mangsa turut terkorban dalam serangan itu termasuk empat orang anak pasangan itu. Hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat.

“Mohammed J. H. Alzaanin, calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM terkorban dalam serangan  yang berlaku di perkampungan mereka di Bait Hanon kira-kira jam 8 pagi.

Menurut USIM ia disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq.