Dua peragut dicekup polis, tak sempat joli hasil ragut

Dua peragut dicekup polis, tak sempat joli hasil ragut

 

Dua rakan tidak sempat berjoli wang hasil ragut apabila mereka dicekup polis dalam tempoh kurang 12 jam selepas melakukan jenayah itu di Jalan Klang Lama di sini, semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, wanita berusia 23 tahun mahu menaiki kereta yang diparkir tepi jalan hadapan sebuah kondominium sebelum didatangi dua penunggang motosikal.

“Salah seorang suspek menghampiri mangsa lalu menarik beg tangannya menyebabkan mangsa terseret dan terjatuh di atas jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera di tangan dan kaki kanan selain kerugian wang tunai serta telefon bimbit bernilai kira-kira RM1,000,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pantai di sini, untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, sepasukan polis menahan kedua-dua suspek berusia 27 dan 29 tahun dalam serbuan berasingan di Taman Seri Sentosa dan Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, pada hari sama.

“Hasil soal siasat dilakukan, polis melakukan serbuan sekitar Brickfields dan menahan empat lagi lelaki berusia antara 23 hingga 26 tahun yang disyaki ahli kumpulan jenayah sama.

“Suspek mengaku terbabit beberapa lagi jenayah curi dan ragut dengan hasil jenayah itu dibahagikan sama rata antara mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.