Dua remaja lelaki ditahan polis berhubung kes video tular hina dan caci pembuat kertas soalan Sejarah SPM

Dua remaja lelaki ditahan polis berhubung kes video tular hina dan caci pembuat kertas soalan Sejarah SPM

 

Umum sedia maklum, kini peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung dan jika dilihat sebenarnya banyak kita dapati luahan pelajar tingkatan lima berhubung soalan yang keluar berbeza daripada ramalan  mereka dan guru-guru.

Begitulah juga yang dialami oleh pelajar ini, namun menjadi satu kesilapan buatnya bilamana, video luahannya tular di media sosial.

“Penat-penat aku baca, tak masuk pon…l***** lah…”

Di dalam hantaran berdurasi 36 saat yang dikongsi semula oleh pemilik akaun Twitter ‘nan manjoi8715’, menyaksikan seorang pelajar yang masih beruniform sekolah menyelar tindakan guru yang juga merupakan penggubal kertas peperiksaan subjek itu dengan menggunakan kata-kata kesat kerana soalan yang keluar berbeza dengan ramalan.

Hal itu menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk menjawab kertas Sejarah pada hari itu kerana tidak sempat  mengulangkaji keseluruhan silibus pelajaran.

 

Pelajar Mohon Maaf, Janji Tak Buat Lagi

Walau bagaimanapun,  kedua-duanya telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform Tiktok berhubung isu yang tular sekaligus bagi menjernihkan semula keadaan dengan memaklumkan bahawa tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

Menurut lelaki berbaju t-shirt putih itu, luahan tersebut dibuat secara spontan dan tidak menyangka rakannya (baju merah) kemudian memuat naik video itu ke dalam media sosial sehingga mencetuskan pelbagai respon negatif dari kalangan warganet.

 

Dua remaja lelaki ditahan polis

Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata dua remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun, jam 10.53 pagi semalam.

“Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook di daerah ini, memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

“Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suffian berkata, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di rumah suspek dan menahan dua remaja lelaki warga tempatan.

“Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu. Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Suffian menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan.