Dua suspek tembak mati hotel di Bukit Bintang ditahan polis

Dua suspek tembak mati hotel di Bukit Bintang ditahan polis

Dua suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

Memetik laporan portal Malaysianow, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 51 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di Puchong pada 8.15 malam.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk revolver, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, 14 butir peluru, sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju dan seluar, dua pasang kasut sukan, topi, sebuah beg silang serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

“Satu (daripada) pistol berkenaan (yang dirampas) dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Pada Selasa lepas, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas beliau mendaftar masuk.

Penemuan mayat mangsa disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa berjumpa di bilik hotel berkenaan bagi urusan berkaitan jual beli dadah manakala semakan ke atas mangsa  pula mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kes culik, bunuh serta dadah.

Azmi berkata penahanan terbaru itu menjadikan kesemua tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, beliau berkata semakan terhadap suspek pertama yang ditahan di tempat kejadian pada hari sama mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah dan telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin ini manakala permohonan reman bagi dua lagi suspek akan dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.