Duda maut terjatuh bangunan gara-gara elak dari ditangkap suami kekasih gelap

Duda maut terjatuh bangunan gara-gara elak dari ditangkap suami kekasih gelap

Gara-gara ingin melarikan diri selepas dicekup berkhalwat dengan isteri orang, seorang lelaki ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di sini hari ini.

Menurut laporan MalaysiaGazette, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.47 pagi itu, si mati yang merupakan seorang duda berusia 46 tahun itu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, saksi iaitu kekasih kepada si mati yang merupakan ibu anak tiga berusia 37 tahun mendakwa lelaki itu datang ke rumahnya pada pukul 12 tengah malam semalam selepas suaminya keluar dan bermalam di situ.

Katanya, pada pukul 10.30 pagi semasa pasangan itu berada di ruang tamu, tiba-tiba suami saksi pulang ke rumah dan menyedari kehadiran si mati.

“Suami saksi telah mengunci pintu gril hadapan rumah menyebabkan pasangan itu tidak terperangkap dan dia telah menghubungi pihak polis.

“Saksi meminta si mati berunding dengan suaminya, namun lelaki itu nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun,” katanya dalam satu kenyataan akbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, saksi yang berada di ruang tamu hanya melihat si mati dari jauh sebelum terdengar bunyi dentuman di luar koridor.

“Saksi melihat ke bawah dan mendapati lelaki tersebut telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

“Pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas mayat si mati mendapati terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka dipercayai dia jatuh dalam keadaan tersembam, lengan kiri mangsa juga patah,” katanya.

Ujarnya lagi, saksi memberitahu mereka telah berkenalan pada 2005, namun berpisah dan masing-masing telah mendirikan rumah tangga.

Tambahnya, pada 2017 si mati telah bercerai dengan isterinya, lalu mencari semula saksi untuk menjalinkan semula hubungan walaupun mengetahui bahawa saksi telah berkahwin.

“Hubungan simati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami saksi,” katanya.