Dunia berdepan virus baru sakit kelamin kebal ubat antibiotik

Dunia berdepan virus baru sakit kelamin kebal ubat antibiotik

Saintis-saintis memberi amaran mengenai penularan penyakit gonorea ‘super’ yang menjadi ancaman global susulan kes seorang lelaki Austria gagal dirawat menggunakan ubat-ubatan sepatutnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu dilaporkan dijangkiti gonorea selepas melakukan hubungan seks tanpa menggunakan perlindungan dengan seorang pelacur ketika bercuti di Kemboja April lalu.

Selepas pulang ke rumahnya lima hari kemudian, lelaki berkenaan mengalami kesakitan amat perit ketika membuang air kecil.

Ujian perubatan yang dilakukan mendapati dia menghidap gonorea dan diberikan ubat antiobiotik yang sering digunakan dalam rawatan kes sedemikian.

Bagaimanapun, ubat yang kebiasaannya dapat menghilangkan simptom penyakit itu gagal menyembuhkan pesakit dan dia masih disahkan positif. Ini bermaksud rawatan yang diberikan kepada pesakit telah gagal.

Keadaan itu menyebabkan doktor-doktor menggelar varian tersebut sebagai ‘kebal ubat’ sekali gus berbeza varian gonorea yang ditemui sebelum ini.

Mereka turut memberi amaran bahawa penyakit itu berkemungkinan tidak boleh dirawat sekiranya dibiarkan merebak.

Pengarang utama kes tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Eurosurveillance , Dr. Sonja Pleininger berkata, varian itu mendatangkan ancaman kesihatan kepada seluruh dunia.

“Jika varian sedemikian dapat mewujudkan penularan berterusan, lebih banyak kes gonorea akan sukar diubati,” ujarnya.

Justeru, ubat-ubatan baharu yang menyasarkan bakteria gonorea dan/atau penghasilan vaksin gonorea yang berkesan adalah penting bagi mengekang penularan varian ‘kebal’ ubat tersebut, katanya.